Muhyiddin berjaya hari ini, tetapi jalan Perikatan masih panjang berliku


shadow

PERJALANAN Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih sukar walaupun kerajaan Perikatan Nasionalnya mencapai kejayaan pertama dengan menukar speaker Dewan Rakyat hari ini, kata penganalisis.

Persidangan hari ini menunjukkan kerajaan PN yang baharu berusia empat bulan bakal berdepan halangan besar mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat untuk usul penting lain seperti belanjawan negara dan Covid-19.

Ini bersandarkan situasi hari ini apabila usul menukar speaker Mohamad Ariff Md Yusof mendedahkan kepimpinan Muhyiddin hanya disokong 113 ahli Parlimen dalam dewan berkerusi 222- hanya lebih satu kerusi yang membolehkan kerajaannya terus berkuasa.

Menukar speaker dewan hanyalah untuk memastikan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin tidak diteruskan tetapi ia tidak menghapuskan risiko penolakan usul lain yang boleh menjejaskan kemampuan PN mentadbir negara dengan berkesan.

Dalam sidang Parlimen akan datang, Muhyiddin perlu memastikan semua pemimpin dalam Kabinetnya dan wakil rakyat PN hadir setiap sesi Dewan Rakyat, kata penganalisis politik Dr Mazlan Ali.

“Semua menteri perlu hadir dan beliau perlu pastikan tiada wakil rakyat yang tiba-tiba sakit atau tidak boleh hadir sidang, kalau tidak usul tidak akan diluluskan.

“Beliau menang kali ini, tetapi jalan masih panjang dan berliku,” kata Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Untuk dapatkan kestabilan nyata bagi mentadbir, beliau perlu ada sekurang-kurangnya majoriti 120 kerusi.

“Tetapi fakta menunjukkan bahawa beliau masih tidak ada (majoriti besar) walaupun pelbagai tawaran manis dibuat kepada semua wakil rakyat untuk menyokongnya membuktikan PN tidak stabil.”

Muhyiddin sebelum ini dituduh menggunakan jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan dan agensi bagi memastikan wakil rakyat menyokong Perikatan yang terbentuk selepas sekumpulan wakil rakyat Pakatan Harapan berpaling tadah, hujung Februari lalu.

Perikatan Nasional perlu memastikan semua wakil rakyatnya hadir sidang Parlimen bagi membolehkan usul penting lain seperti belanjawan lulus. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2020.
Perikatan Nasional perlu memastikan semua wakil rakyatnya hadir sidang Parlimen bagi membolehkan usul penting lain seperti belanjawan lulus. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2020.

PH menang PRU14 pada 2018, tetapi tumbang selepas Muhyiddin yang ketika itu menteri dalam negeri berpaling tadah, membawa bersamanya hampir 40 ahli Parlimen lain.

Muhyiddin kemudiannya membentuk PN dengan seteru PH- Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Hari ini adalah ujian pertama sokongan terhadap pentadbirannya selepas sekutu-kini-seterunya Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin tidak cukup sokongan untuk membentuk kerajaan.

Muhyiddin hanya mampu meraih majoriti tipis 111 undi untuk membolehkan Ariff disingkirkan sebagai speaker, tetapi usaha menukar Timbalan Speaker Nga Kor Ming dengan Azalina Othman dibuat dengan mudah selepas Nga yang juga ahli Parlimen Taiping meletak jawatan.

Blok pembangkang, dinamakan “PH Plus” meraih 109 sokongan.

Dua ahli Parlimen dikaitan dengan PN, Maximus Ongkili (Kota Marudu-PBS) dan Rashid Hasnon (Batu Pahat- Bersatu) tidak mengundi.

Pakatan Harapan Plus perlu bersatu kerana gandingan mereka hari ini membuktikan mereka boleh memberikan cabaran kepada Perikatan Nasional.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2020.
Pakatan Harapan Plus perlu bersatu kerana gandingan mereka hari ini membuktikan mereka boleh memberikan cabaran kepada Perikatan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2020.

Usul hari ini juga, kata pakar politik James Chin, mendedahkan yang blok pembangkang nampaknya masih kukuh bersatu walaupun kemelut calon perdana menteri mereka masih berlarutan.

Dr Mahathir dilihat bekerjasama rapat dengan Anwar Ibrahim walaupun wujud konflik antara mereka.

“Di masa hadapan, Muhyiddin akan mahu menguji sokongan terhadapnya lagi dengan kelulusan usul lain,” kata Chin yang menerajui Asia Institute di University of Tasmania.

“Muhyiddin boleh duduk selesa kerana undi tidak percaya tidak akan dibuat kerana sistem Parlimen Malaysia memerlukan speaker meluluskannya (sebelum dibentangkan).

“Tetapi kerana jumlah kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) sengit, ia bermaksud dalam semua usul beliau perlu pastikan semua orang hadir, terutama sekali (usul) belanjawan.”

Mazlan dari UTM pula berkata perpaduan hari ini ditunjukkan PH Plus adalah petanda mereka masih sepakat mahu menjatuhkan PN dan kembali berkuasa.

“Ini boleh dilakukan dengan menarik lebih ramai ahli Parlimen menyokong mereka supaya boleh tolak (usul) belanjawan negara. Jika PH boleh buat itu, PN tak boleh mentadbir.”

Tinggalkan komen anda