Pelajar asrama balik ke sekolah ikut giliran, kata menteri pendidikan


shadow

PELAJAR sekolah berasrama akan kembali ke sekolah bergilir-gilir mengikut jadual operasi yang akan ditetapkan oleh pihak sekolah, umum Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.

Proses balik ke asrama itu dijadual akan selesai sebelum akhir Julai ini, iaitu dalam masa antara 28 hingga 42 hari daripada tarikh sekolah mula dibuka untuk Tingkatan 5 dan Tingkatan pada 24 Jun lalu, tambahnya.

“Tempoh untuk kembali ke asrama ini bergantung kepada bilangan murid dan akan ditetapkan oleh pihak sekolah,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini, yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Jelas Mohd Radzi, pembukaan semula sekolah berasrama akan dibuat mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing.

“Asrama yang mempunyai kapasiti yang mencukupi setelah mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa.

“Manakala, bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad setelah mengambil kira penjarakan sosial, pada peringkat awal, hanya sebahagian murid sahaja dapat tinggal di asrama,” katanya 

Antara kekangan di sekolah asrama ialah penggunaan katil dua tingkat, tambahnya.

Mohd Radzi menjelaskan atas nasihat Kementerian Kesihatan, murid sekolah berasrama yang pulang ke sekolah, yang asramanya menggunakan katil dua tingkat, hanya akan menggunakan katil bawah sahaja.

Selepas 14 hari, kumpulan pertama itu akan berpindah ke katil atas sementara kumpulan murid baharu akan dibenarkan pulang ke asrama dan menggunakan katil bawah.

“Prosedur ini diteruskan sehingga semua murid dapat tinggal di asrama,” katanya.

Mohd Radzi hari ini mengumumkan semua sekolah akan mula dibuka secara berperingkat antara 15 dan 22 Julai ini atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Tinggalkan komen anda