Pemuda Amanah pelawa Syed Saddiq sertai parti


shadow

Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithin menjemput Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota pimpinan Pemuda Bersatu (Armada) yang dipinggirkan daripada parti menyertai Amanah.

Pelawaan itu dibuat selepas Armada mengumumkan naib ketuanya Aizad Roslan dilantik sebagai pemangku ketua.

“Susulan pemecatan Syed Saddiq, ahli parlimen Muar daripada Bersatu serta ramai angggota pimpinan Armada yang mungkin diketepikan, Pemuda Amanah ingin mengajak seluruhnya untuk bersama-sama berjuang dalam Amanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Saddiq digugurkan keahlian partinya pada 28 Mei lalu.

Bersatu mengisytiharkan keahlian ahli parlimen Muar itu dan beberapa lagi anggota Parlimen yang menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai terbatal kerana duduk di bahagian pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

“Sejak menghadapi PRU14 sehingga ke hari ini, Amanah terus bekerjasama dengan kumpulan Bersatu pro Dr Mahathir termasuklah Syed Saddiq.

“Pastinya Amanah sangat terbuka menerima penyertaan tokoh dan para aktivis anak muda ini ke dalam parti untuk bersama-sama memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

“Pemuda Amanah optimis bahawa penyertaan ini bakal merancakkan lagi dinamik gerakan anak muda dalam arena politik tanah air,” kata Shazni.

Semalam, Syed Saddiq berkata dia tidak akan melengah-lengahkan lagi langkah untuk menyingkirkannya daripada parti itu, maka akan menarik balik saman sivil terhadap pemecatannya.

Tinggalkan komen anda