Pemuda PH adukan penyokong Najib ke polis


shadow

Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini membuat satu laporan polis susulan perhimpunan di kompleks mahkamah Kuala Lumpur Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Laporan tersebut dibuat berikutan penyokong Najib Razak yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Mereka berkumpul dan bersesak-sesak semasa menunggu keputusan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) oleh bekas perdana menteri terbabit.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan, P Prabakaran, berkata mereka mengemukakan laporan polis tersebut agar pihak berkuasa boleh mengambil tindakan tegas dan pantas terhadap individu yang ingkar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, hal ini juga bagi menjaga nama baik pihak berwajib daripada dikatakan bersikap pilih kasih semasa menjatuhkan hukuman. Apabila rakyat marhean mereka didenda dan ditahan, tetapi golongan elit dibebaskan tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Hadir sama Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul; dan Ketua Pemuda DAP Wilayah Persekutuan, Lee Bing Hong.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada jam 12 tengah hari tadi.

Mengulas lanjut, Prabakaran berkata antara SOP dilanggar adalah tidak menjaga penjarakan sosial iaitu sekarang-kurangnya satu meter, tidak bersentuhan dengan orang lain, berada di tempat orang ramai dan sesak seperti yang dinyatakan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Antara yang dinamakan dalam laporan tersebut adalah Najib sendiri, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan; Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan; dan Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki; serta beberapa pemimpin Umno yang hadir di pekarangan mahkamah semalam.

Semalam, ribuan penyokong Najib berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan moral kepada Najib yang didapati bersalah atas semua tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Dengan sebahagian daripada mereka tidak memakai pelitup separuh muka, penyokong Najib itu juga dilihat gagal menjaga jarak di antara satu sama lain.

Sesetengah mereka juga bersalam dengan Najib.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam menyatakan kekecewaannya terhadap tiadanya kawalan kediri dalam perhimpunan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan Malaysia semalam kembali mencatatkan kes harian dua digit dengan 39 kes baru – jumlah tertinggi sejak 15 Jun (41 kes).

Tinggalkan komen anda