Pemulangan wang oleh Goldman bukti salah laku dalam 1MDB


shadow

Pemulangan wang oleh Goldman Sachs sebanyak AS$ 3.9 bilion (RM16.63 bilion) membuktikan penyelewengan dan salah laku dalam kes 1MDB, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Proses pemulangan wang dari Goldman Sachs ini sebenarnya hanya bermula dengan kemenangan Pakatan Harapan dan kekalahan Barisan Nasional pada PRU14.

“Majlis Presiden mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam usaha ini, termasuk peguam negara pada ketika itu yang telah memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat Malaysia. 

“Pemulangan wang ini juga menjadi bukti wujudnya pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman itu,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Majlis Presiden PH berkata kerajaan PH sebelum ini tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs untuk hanya memulangkan AS$1.75 bilion, sedangkan jumlah penuh yang dituntut adalah ASD7.5 bilion.

Penyelesaian itu melibatkan pembayaran wang tunai AS$2.5 bilion dan jaminan bahawa aset AS$ 1.4 bilion (RM5.97 bilion) yang diperoleh menggunakan dana 1MDB akan dipulangkan kepada Malaysia.

Jumlah penyelesaian itu adalah dua kali ganda daripada tawaran asal sebanyak AS$1.75 bilion yang dibuat pada 2019.

“Pakatan Harapan menegaskan bahawa semua watak utama di dalam kes ‘scam’ 1MDB mesti diadili di mahkamah, termasuk individu yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebagai “MO1” dan Low Taek Jho (Jho Low) yang sehingga kini belum ditahan.

“Mereka tidak boleh dibenarkan bebas begitu sahaja,” kata pimpinan PH.

MO1, atau Malaysian Official 1, adalah istilah yang digunakan oleh Jabatan Keadilan AS untuk merujuk kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Berikutan skandal itu, BN buat pertama kali tewas dalam pilihan raya umum umum 2018, yang mengakhiri kekuasaan parti itu selama 61 tahun.

Bagaimanapun, kerajaan PH hanya bertahan selama dua tahun selepas Bersatu yang dikawal presidennya, Muhyiddin Yassin keluar daripada PH untuk membentuk kerajaan bersama BN dan sekumpulan pemimpin PKR.

Muhyiddin yang kini menjadi perdana menteri berkata kerajaan menyambut baik pemulangan wang berkenaan dan komited untuk terus mendapatkan kembali aset lain berkaitan 1MDB.

“Kerajaan komited untuk meneruskan usaha mendapatkan semula aset-aset lain berkaitan 1MDB dan meneruskan tuntutan-tuntutan terhadap individu dan pihak yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB,” jelasnya.

Goldman Sachs bertanggungjawab mengatur tiga bon untuk 1MDB berjumlah AS$ 6.5 bilion antara 2012 dan 2013, sejumlah besar yang kemudiannya diselewengkan. Bank itu didakwa terlibat dalam penyelewengan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Group Inc, David Solomon tahun lalu meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan bank itu dalam skandal 1MDB.

“Sangat jelas bahawa rakyat Malaysia ditipu oleh banyak individu, termasuk anggota tertinggi kerajaan sebelumnya,” katanya.

Najib ketika di dalam atau di luar kerajaan menyatakan beliau tidak terlibat dalam sebarang salah laku berkaitan 1MDB.  

Beliau merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika skandal itu meletus.

Tinggalkan komen anda