Peniaga berminat beli rumah PR1MA lapor polis dakwa ditipu


shadow

Seorang peniaga membuat laporan polis selepas mendakwa diperdaya sepasang suami isteri dalam urusan pembelian Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sehingga kerugian RM10,897.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 50 tahun mendakwa suspek dikenali sekitar Jan 2019 DAN difahamkan boleh membantu mendapatkan rumah itu atas kuota pemaju.

“Mangsa mendakwa berminat untuk membeli dua buah rumah itu yang dibangunkan berhampiran bandar Kuantan selepas suspek memaklumkan boleh menolongnya berbuat demikian tanpa perlu membuat pinjaman bank.

“Suspek juga didakwa menawarkan rumah teres setingkat lot tepi pada harga RM179,900 seunit.

“Mangsa mendakwa membuat bayaran proses itu secara berperingkat bagi tujuan pembelian,” katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa bagaimanapun mulai curiga selepas tidak menerima dokumen perjanjian atau resit bayaran proses selain tidak dimaklumkan mengenai perkembangan proses pembelian.

Mangsa kemudian mendengar cerita bahawa suspek lelaki itu banyak menipu dalam pelbagai urusan jual beli.

Usaha mangsa untuk mendapatkan penjelasan daripada suspek sekitar Jun lepas juga gagal apabila suspek didakwa sering mengelak daripada bertemu atau menjawab panggilan telefon.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Kata Mohd Wazir siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

– Bernama

Tinggalkan komen anda