Perangai lama dah kembali di Dewan Rakyat


shadow

Dewan Rakyat yang sebelum ini mula menunjukkan perubahan dan kualiti perbahasan dalam kalangan anggota, kelihatan berubah sekali lagi kata bekas speakernya.

Menurut Mohamad Ariff Md Yusof suatu ketika dulu anggota parlimen berhujah dengan perlakukan yang baik serta menyertakan angka dan fakta semasa berhujah.

Isu yang dibangkitkan, katanya, kemudian perlu dijawab oleh menteri.

Namun selepas dua minggu sidang berlangsung beliau mula berasa bimbang dengan apa yang berlaku di situ.

Bagi Mohamad Ariff sudah ada tanda-tanda menunjukkan keadaan berundur ke era sebelum pembaharuan dijalankan di Dewan Rakyat.

“Melihatkan apa yang berlaku sepanjang dua minggu lalu, nampaknya sudah kembali ke perangai lama,” katanya seperti dipetik portal berita The Malaysian Insight hari ini.

Ada beberapa kekecohan berlaku sejak Dewan Rakyat bersidang pada 13 Julai lalu. Namun antara yang paling menonjol ialah sindiran dan perlecehan dilakukan Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim, kepada Kasthuri Patto.

Antara lain Abdul Azeez menyarankan anggota parlimen Batu Kawan itu memakai bedak untuk memudahkan beliau dilihat dalam Dewan Rakyat.

PM sendiri datang menjawab

Abdul Azeez kemudian meminta maaf selepas diarahkan speaker baru, Azhar Harun, sehari kemudian.

Mohamad Ariff merupakan seorang ahli akademik sebelum menyertai bidang perundangan dengan menjadi peguam dan hakim. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara dari dunia itu ialah hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau dilantik menjadi speaker di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun kedudukan Mohd Ariff diketepikan apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri mengemukakan usul untuk menggantikannya.

Usul itu kemudian diterima Mohamad Ariff. Dalam undian yang dijalankan Azhar memperoleh kelebihan dua undi daripada blok kerajaan.

Mohamad Ariff, 71, mengakui ketika perubahan berlaku dan kualiti perbahasan meningkat masih ada anggota parlimen yang suka membuat kecoh dan mengganggu sidang.

“Mereka tidak mahu keluar dewan atau duduk apabila diarahkan. Mereka tidak ramai tetapi mencetus kekecohan dalam Dewan,” katanya.

Beliau juga menceritakan bagaimana kerajaan sangat menyokong usaha pembaharuan yang mahu dilakukan di Dewan Rakyat. Katanya, ia turut ditunjukkan oleh Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu.

“Saya mendapat kerjasama yang sangat baik daripada menteri (PH). Ada beberapa pembaharuan yang kami mahu bawa. Sudah tentu pada mulanya mereka keberatan tetapi akhirnya kami berjaya yakinkan mereka.

“Kami berjaya yakinkan Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu perdana menteri bahawa pembaharuan ini bagus.

“Sebab itulah semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri, Dr Mahathir akan datang untuk jawab sendiri pertanyaan,” katanya.

Tinggalkan komen anda