Perikatan tiada dasar, hanya mahu kuasa, kata Guan Eng


shadow

PERIKATAN Nasional tidak ada dasar dan hanya mahu terus berkuasa, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata, dasar semasa PN hanyalah penerusan usaha Pakatan Harapan ketika ia berkuasa.

“Adakah PN ada sebarang manifesto atau garis panduan dasar? Manifestonya hanyalah bagaimana untuk terus berkuasa.

“Banyak dasar PN hari ini adalah daripada PH. Ramai menterinya juga datang dari PH,” kata ahli Parlimen Bagan itu ketika perbahasan titah diraja, hari ini.

Lim bercakap buat kali pertama di Dewan Rakyat hari ini sejak kejatuhan kerajaan PH, dan ramai PN berulang kali mempersoalkan rekod kerjanya semasa menjadi menteri kewangan.

Antara yang jadi ketua cabaran adalah Abdul Azeez Rahiim (Baling-BN) dan Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-BN).

Lim membenarkan mereka memberikan celahan dan menjawab setiap persoalan ditimbulkan.

Timbalan Speaker Azalina Othman yang baharu dilantik, bagaimanapun, tidak banyak berusaha untuk menghentikan celahan walaupun beliau “berjanji” akan meneliti kenyataan “bodoh” dikeluarkan Tajuddin terhadap Lim.

Tajuddin, yang beberapa kali diberikan amaran sebelum ini kerana kesalahan sama, terus menghamburkan pelbagai dakwaan terhadap Lim.

Salah satu tuduhan utama dilemparkan Barisan Nasional untuk membuat pengundi Melayu menentang PH sejak 2018 adalah Kementerian Kewangan yang diterajui Lim menjual aset negara.

“Saya tak luluskan sebarang penjualan aset di bawah Kementerian Kewangan. Ia mungkin berlaku di bawah kementerian lain tetapi bukan saya,” kata Lim.

Walaupun banyak kali dilaporkan, Tajuddin masih bertanya: “Bagaimana dengan penjualan IHH Healhcare Bhd kepada Mitsui & Co?”

Lim menjawab: “Penjualan IHH kepada Mitsui tidak diluluskan MoF. Tanyalah Gombak?”

Beliau merujuk kepada Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi PH sebelum berpaling tadah masuk PN dan menjadi menteri kanannya.

Dilaporkan pada 2018 yang Khazanah Nasional Bhd menjual IHH kepada Mitsui dengan nilai RM8.42 bilion, Khazanah terletak di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diterajui Azmin ketika itu.

Lim turut meminta kerajaan menjelaskan rancangan membantu perniagaan yang mengadu tidak dapat mengakses pinjaman kerajaan yang dikeluarkan bagi menangani kesan wabak Covid-19.

“Kerajaan perlu tengok isu ini dan juga pembaziran yang sedang berlaku.”

Salah satu contoh pembaziran, kata Lim, adalah pengedaran hamper RM100 kepada kumpulan B40 ketika tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Jelas sekali pembaziran kerana nilai hamper hanyalah RM35,” kata Lim.

Lim juga meminta kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman daripada enam bulan sekarang kepada 12 bulan.

Tinggalkan komen anda