Polis buru individu kuarantin kendiri ingkar jalani saringan kedua


shadow

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digerakkan untuk menjejaki individu yang menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi enggan menjalani saringan kedua pada hari ke-13.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan terhadap mereka yang melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“Walaupun dibenarkan kuarantin di rumah, ada prosedur operasi standard (SOP) yang mereka perlu patuhi. Hari ke-13 mereka perlu menjalani saringan kedua, kalau didapati negatif Covid-19, maka kita potong ‘wristband’ mereka.

“Mereka yang degil kita akan hantar polis untuk cari mereka. Sama ada mereka nak tunggu polis datang atau pergi ke klinik untuk saringan kedua,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada Isnin lepas melaporkan seramai 1,472 individu yang menjalani kuarantin di rumah masih belum menjalani ujian Covid-19 hari ke-13.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata rakyat Singapura yang merupakan peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) perlu mengemukakan sijil ‘fit to travel’ (sihat untuk lakukan perjalanan) untuk masuk ke negara ini.

Jelasnya rakyat Singapura tetap perlu membuat saringan kesihatan sebelum masuk ke negara ini walaupun dasar republik itu mungkin tidak menetapkan keperluan membuat saringan jika tidak bergejala.

“Kita akan kaji semula syarat itu, bagaimanapun ia masih tertakluk kepada perbincangan Kementerian Luar bagi kedua-dua negara,

“Misalnya 250,000 pekerja iaitu rakyat kita patutnya berulang-alik ke Singapura, kita masih tunggu Singapura melonggarkan (syarat) kemasukan rakyat kita ke sana,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata perlu ada timbal balas di antara kedua-dua negara.

“Kita benarkan rakyat mereka ke negara ini, mereka juga perlu membenarkan atau melonggarkan syarat kemasukan rakyat kita ke negara mereka.”

– Bernama

Tinggalkan komen anda