Putrajaya abai produk, solusi ICT tempatan, kata persatuan


shadow

PUTRAJAYA perlu menyokong syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan berbanding memberi peluang kepada syarikat asing, kata sebuah persatuan usahawan ICT Bumiputera, demi kemajuan ekonomi dan keselamatan strategik Malaysia.

Dasar kerajaan sekarang tidak memihak kepada produk dan solusi syarikat tempatan, kata Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF).

Presiden NEF Khairul Iszudin Ismail berkata amalan itu sudah berlaku sejak sekian lama terutama untuk projek berskala besar.

“Adalah tidak wajar syarikat luar negara dengan modal yang besar, mendapat pula manfaat daripada wang kerajaan dan wang cukai rakyat untuk kemajuan mereka, sedangkan syarikat tempatan yang bertarung nyawa untuk hidup terpaksa bersaing dengan mereka, dengan modal yang terhad.

“Beberapa pihak begitu bersemangat membawa pesaing luar negara untuk bertapak dalam Malaysia, dan membunuh syarikat teknologi tempatan. 

“Lebih sedih lagi apabila ia disokong oleh pihak kerajaan sendiri ataupun bersandarkan sokongan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul Iszudin memberi ingatan, NEF membangkitkan perkara ini kerana ia juga melibatkan soal keselamatan negara.

“Dalam dunia era digital ini, kedaulatan negara bukan sekadar terletak di perbatasan. Berhati-hati dengan yang memberi, jangan sampai termakan budi,” katanya.

Beliau memberi contoh beberapa aplikasi kerajaan yang menggunakan kepakaran teknologi luar negara, termasuk beberapa aplikasi yang diperkenalkan sejak penularan Covid-19.

Antaranya, MySejahtera yang diperkenalkan untuk pengesanan kontak Covid-19, yang dibangunkan dengan usaha sama syarikat luar negara, KPISoft Inc dari Amerika Syarikat yang mempunyai ibu pejabat Asia di Singapura.

Beliau juga memberi contoh laman web DELIMa (Digital Education Learning Initiative Malaysia) yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru bagi tujuan pendidikan dalam talian, yang tidak mengetengahkan kandungan dan solusi digital tempatan.

Pengasas sebuah syarikat ICT tempatan Faiz Al-Shahab baru-baru ini mendedahkan bagaimana laman web DELIMa malah mengetepikan kandungan sedia ada yang dimiliki agensi kementerian sendiri antaranya Perpustakaan Negara Malaysia dan Perbadanan Kota Buku.

Beliau juga menyebut projek di bawah Penjana iaitu MyFutureJobs oleh Perkeso yang menggunakan kepakaran teknologi dari Netherlands.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia baru-baru ini juga menyuarakan kebimbangan bagaimana Putrajaya mengetepikan teknologi e-dagang tempatan, katanya.

Khairul Iszudin menggesa kerajaan meneliti dengan menyeluruh proses perolehan bagi memastikan syarikat induk milik penuh rakyat Malaysia diberi keutamaan.

“Kami menggesa kerajaan menggubal satu dasar rasmi untuk memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan dalam perolehan dan pembangunan projek berasaskan ICT,” tambahnya.

Beliau turut menyenaraikan beberapa projek ICT yang dibangunkan oleh rakyat Malaysia, sesetengahnya secara sukarela dan tanpa imbuhan daripada kerajaan.

Antaranya aplikasi MyBanjir bagi membantu isu banjir di Kuala Krai, Kelantan, aplikasi Datang.my untuk merekod kehadiran di sekolah semasa Covid-19, 

Dalam pada itu, Khairul Iszudin turut mengumumkan NEF melancarkan kempen #MalaysianTechFirst untuk memberi kesedaran kepada umum mengenai perkara ini.

Tinggalkan komen anda