Ramkarpal kemuka bukti Dewan Rakyat dengar rakaman audio


shadow

AHLI Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mengemukakan bukti bahawa Dewan Rakyat pernah mendengar rakaman audio semasa perbahasan, sekaligus menafikan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan kononnya beliau cuba mengelirukan dewan.

Ahli Parlimen DAP itu mengemukakan rakaman video ucapan mendiang bapanya Karpal Singh semasa sidang Dewan Rakyat pada 2009, yang ketika itu dipengerusikan oleh timbalan speaker Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam sidang medianya di lobi Parlimen, Ramkarpal berkata Takiyuddin sepatutnya menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan melulu.

“Saya tidak akan sesekali mengelirukan Parlimen, ini jawapan saya.

“Saya gesa beliau buatlah kerja rumah, semak fakta sebelum membuat dakwaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Awal hari ini, Takiyuddin berkata dakwaan Ramkarpal, yang dibuat dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam, tidak benar dan tidak berasas.

Katanya, semakan rekod Parlimen menunjukkan tiada perkara seperti yang disebut oleh Ramkarpal, sekaligus menjadi kesalahan kerana mengelirukan Dewan Rakyat mengikut Peraturan 36 (12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Dalam kenyataannya Takiyuddin memberi masa kepada Ramkarpal mengemukakan bukti sehingga akhir sidang Dewan Rakuyat hari ini, atau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Semalam, semasa membahaskan titah diraja, Ramkarpal cuba memainkan rakaman audio yang dikatakan suara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, dengan tujuan meminta pengesahan.

Katanya, perkara seperti itu pernah dibuat dalam sidang Dewan Rakyat pada suatu masa dahulu, iaitu pada 2007 ketika bapanya yang juga bekas ahli Parlimen Bukit Gelugor memainkan audio berkenaan dakwaan rasuah bekas ketua hakim negara.

Muhyiddin tidak berada di Dewan Rakyat semalam.

Permintaan Ramkarpal semalam dinafikan oleh Timbalan Speaker Azalina Othman Said.

Hari ini, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mempertahankan keputusan timbalannya dengan alasan rakaman audio tidak memenuhi syarat keterangan yang boleh diterima. 

Tinggalkan komen anda