SPR belum terima notis pembubaran DUN Sabah


shadow

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menerima makluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berhubung pembubaran kerajaan negeri itu pagi tadi.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata, sehubungan itu, pihaknya belum boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pembubaran kerajaan Sabah.

“SPR belum mendapat kenyataan rasmi mengenai pembubaran DUN Sabah dari Speaker DUN. Kami tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, DUN Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini. Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media khas pagi tadi.

Mohd Shafie sebelum itu dilihat memasuki Istana Negeri sekitar jam 8.20 pagi tadi bersama lima kenderaan dengan satu daripadanya mempunyai lambang Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Semalam, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dilaporkan mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Tinggalkan komen anda