Umat Islam jalankan ibadah korban ikut SOP


shadow

Tahun 2020 menyaksikan umat Islam di negara ini meraikan Aidiladha dalam kebiasaan baharu susulan wabak Covid-19 yang masih mengancam dunia selain cuaca mendung dan hujan hampir di seluruh negara.

Dalam situasi itu juga, umat Islam bersyukur masih dapat menunaikan solat sunat Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak itu.

Misalnya di Kangar, Perlis dan Ipoh, Perak, penganjuran solat sunat Aidiladha diadakan dalam dua sesi bagi mematuhi SOP selain memberi ruang kepada lebih ramai umat Islam di negeri itu untuk bersama-sama menunaikan solat sunat itu.

Malah, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan memakai pelitup muka. Turut hadir, Menteri Besar Perlis Azlan Man.

Situasi sama dapat dilihat di Johor Bahru, apabila 200 jemaah berkumpul seawal pukul 7.30 pagi di Masjid Sultan Abu Bakar dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka bagi membendung penularan pandemik Covid-19 yang masih berlaku dalam komuniti setempat.

Antara yang kelihatan menyertai solat itu ialah Menteri Besar Johor Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri, Solihan Badri.

Nasihat kepada orang ramai untuk mematuhi SOP turut ditekankan dalam khutbah Aidiladha tahun ini, seperti yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di surau kediaman rasminya di Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah.

Dalam khutbahnya, Muhammad Sanusi mengingatkan orang ramai supaya bertanggungjawab dalam memastikan kawalan kendiri dan patuh kepada segala arahan yang telah ditetapkan walaupun terdapat kelonggaran yang diberikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Tinjauan Bernama di Kuala Lumpur juga menyaksikan ibadah korban dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan seperti yang berlaku di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz, Kampung Sungai Penchala dengan penyembelihan dibahagikan kepada beberapa sesi dengan setiap sesi melibatkan tidak lebih 200 orang.

Ibadah korban di Kelantan juga mengamalkan SOP yang sama dengan 10 ekor lembu disembelih pada Majlis Qurban Perdana Idul Adha 1441H Masjid Muhammadi, Kota Bahru, yang diuruskan 40 orang petugas, selain 10 anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut membantu melicinkan majlis.

Pematuhan SOP itu juga turut dipraktikkan di semua masjid dan surau di Sarawak dalam kedua-dua ibadah solat sunat dan penyembelihan.

Cuaca mendung susulan hujan lebat malam tadi, tidak menghalang ibadah korban dilaksanakan di Melaka dengan hanya beberapa kawasan dibenarkan untuk melakukan proses penyembelihan antaranya rumah sembelihan Jabatan Verterinar.

Begitu pun, rata-rata umat Islam dilihat menyambut Aidiladha dalam suasana sederhana namun meriah dalam kebiasaan baharu seperti yang dilihat di Terengganu.

Kebanyakan masjid di negeri itu penuh dengan kehadiran penduduk sekitar dan juga perantau yang mengambil peluang bercuti di kampung setelah tidak dapat berbuat demikian pada Aidilfitri lalu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al Muktafi Billah Shah, dengan diiringi Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yang pasti, kebiasaan baru dan SOP yang diamalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini memberi pengalaman baharu bagi umat Islam dalam meraikan Aidiladha kali ini.

– Bernama

Tinggalkan komen anda