Umno boleh ubah keputusan pecat Muhyiddin, kata Tok Mat


shadow

UMNO boleh mengubah keputusan memecat Muhyiddin Yassin dari parti itu sekiranya beliau mahu kembali menyertai parti, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Muhyiddin yang kini presiden Bersatu dipecat dari Umno pada 2016 kerana lantang mengkritik skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Menurut Mohamad, sekiranya kembali bersama Umno, Muhyiddin boleh jadi perdana menteri yang didukung oleh parti yang besar, yang mempunyai ramai wakil rakyat di Parlimen.

“Kalau ada hasrat kembali kepada parti, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau. Kami mengalu-alukan jika ada hasrat Tan Sri (Muhyiddin) hendak kembali ke Umno, lebih baik begitu.

“Beliau akan jadi Perdana Menteri yang didukung parti yang besar dan mempunyai ramai Ahli Parlimen, jadi lebih mudah dan lebih senang,” katanya dalam satu wawancara dengan portal berita The Malaysia Post.

Mohamad juga berkata penyertaan semula Muhyiddin ke dalam Umno akan memudahkan urusan pembahagian kerusi untuk pilihan raya umum akan datang.

“Untuk hadapi pilihan raya umum pun tiada masalahnya, misalnya dari segi pembahagian kerusi,” katanya.

Sebelum kenyataan Mohamad ini, beberapa pemimpin Umno pernah mempelawa Muhyiddin kembali ke pangkuan parti, bermula dengan jemputan terbuka oleh Ahli Majlis Tertinggi Tajuddin Abdul Rahman pada awal Mei.

Hanya dua minggu lalu, Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz mencadangkan Muhyiddin agar menyertai Umno semula dan memimpin parti itu sebagai presiden.

Dalam wawancara sama, Mohamad juga berkata secara peribadi beliau tidak ada masalah sekiranya Umno menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang.

“Pandangan peribadi saya, tak ada salahnya kalau kita menamakan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri kerana prestasi beliau dan penerimaan rakyat amat tinggi.

“Mengapa tidak kita ambil peluang untuk menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri untuk Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional, tak ada isu. 

“Yang penting kita dapatkan kemenangan yang selesa,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi bagaimana sebelum ini mengingatkan Umno jawatan perdana menteri bukan untuk dipajak gadai kepada Bersatu.

Beberapa pemimpin kanan Umno juga sebelum ini meminta parti tidak terburu-buru mengehadkan pilihan calon perdana menteri, termasuk  antaranya naib presiden Mohamed Khaled Nordin, pemimpin veteran Shahrir Samad, dan penasihat parti Tengku Razaleigh Hamzah.

Mereka berpandangan Umno sendiri pun ada beberapa calon yang berwibawa dan layak untuk jadi perdana menteri.

Umno memecat Muhyiddin pada Jun 2016 selepas beliau lantang mengkritik Najib Razak, ketika itu perdana menteri dan presiden Umno, berhubung skandal 1MDB.

Tiga bulan selepas dipecat dari Umno, Muhyiddin bersama Dr Mahathir Mohamad dan beberapa yang lain mengasaskan Bersatu, sebuah lagi parti Melayu dan Bumiputera.

Bersatu kemudian menyertai gabungan DAP, Amanah, dan PKR dalam Pakatan Harapan dan menyingkirkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.

Pada hujung Februari lalu, Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan. Pada hari sama, Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri sementara beberapa ahli Parlimen PKR juga dipecat dan keluar parti, menyebabkan pentadbiran itu runtuh tidak sampai dua tahun jadi kerajaan.

Tinggalkan komen anda