Bekas CEO PNB: Lantikan politik beri kesan buruk pada persepsi pelabur


shadow

Pelantikan politik yang banyak ke dalam lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan memberi impak “buruk” terhadap persepsi pelabur berkenaan ketelusan dan integriti dalam korporat di Malaysia, kata bekas CEO Permodalan Nasional Berhad (PNB) Abdul Jalil Rasheed.

Katanya, ia meletakkan negara banyak langkah ke belakang dalam aspek persepsi tersebut.

“Siri lantikan politik mutakhir ini barangkali telah menurunkan kedudukan Malaysia dalam rating tadbir urus korporat.

“Ia barangkali telah menjadikan Malaysia kurang menarik dari sudut pandang pelaburan, terutama daripada pelabur asing,” katanya dalam wawancara bersama podcast atas talian, Bicara Minggu Ini.

Jalil berkata pelabur asing akan meneliti aspek ketelusan dan tadbir urus korporat ketika membuat pelaburan dalam pasaran yang meningkat naik.

“Sebagai bekas pengurus dana yang meningkat naik, perkara pertama yang akan kita lihat ialah komposisi lembaga pengarah kerana sebelum membeli pegangan sebuah syarikat, kita ingin memastikan pegangan itu dilindungi dan lembaga pengarah akan bertindak untuk kepentingan kita, walau kita pemegang saham yang kecil.

“Tapi jika anda lihat ada ahli politik dalam (lembaga pengarah), soal persepsi berkenaan kepentingan siapakah yang akan dilindungi terlebih dahulu akan timbul,” katanya lagi, yang pernah menjadi CEO sebuah firma pengurusan pelaburan di Singapura sebelum dilantik mengetuai PNB.

Lantikan politik sudah sekian lama menjadi amalan di Malaysia, termasuk ketika pentabdiran PH.

Pada masa itu, anggota Parlimen BN mengkritik lantikan politik oleh PH dengan mengatakan mereka mungkir janji untuk tidak berbuat demikian.

Untuk rekod, menurut Janji 22 dalam manifestonya, ia berkata “kerajaan PH akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka”.

Manifesto itu juga tidak menyebut untuk tidak membuat lantikan politik bagi jawatan-jawatan lain.

Jalil yang merupakan orang paling muda pernah menjadi CEO PNB, dilantik oleh kerajaan PH pada 28 Ogos 2019.

Dia meletakkan jawatan pada Jun lalu dan digantikan dengan Ahmad Zulqarnain Onn, yang sebelumnya merupakan timbalan pengarah urusan Khazanah Nasional Bhd.

Isu lantikan politik menjadi perhatian sekali lagi selepas kalangan yang dilantik ketika pentadbiran PH – sama ada mereka ahli politik atau tidak – digantikan dengan anggota Parlimen Perikatan Nasional.

Ada pihak mengatakan lantikan itu dibuat untuk mengekalkan sokongan mereka kepada kerajaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tinggalkan komen anda