Bersatu Blackout tidak payah bertanding di Slim, kata Faizal Azumu


shadow

KUMPULAN penyokong Dr Mahathir Mohamad tidak perlu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim hujung bulan ini, kata Timbalan Presiden Bersatu yang akan disahkan Ahmad Faizal Azumu, kerana ia tidak mendatangkan manfaat.

Namun jika dengan kumpulan yang dirujuk sebagai Bersatu Blackout itu merasakan dengan bertanding di Slim boleh mendatangkan perubahan, beliau mengalu-alukan mereka berbuat demikian.

“Pandangan saya, mereka berhak letakkan calon tetapi ia tidak akan membawa apa-apa perubahan, hanya sekadar dapat menunjukkan kepada rakyat kita berbalah.

“Apa-apa pun jika ia menguntungkan silakan, jika tidak sebagai sahabat saya syor untuk tidak letakkan calon,” katanya, seperti dipetik oleh Bernama di Slim River.

Dalam pada itu, menteri besar Perak itu berkata ahli Bersatu tidak sepatutnya bersama dengan kumpulan itu, atau bersedia untuk diambil tindakan digugurkan dari keahlian parti.

Pada 24 Julai lalu, setiausaha agung Bersatu yang dipertikaikan Marzuki Yahya berkata kumpulan penyokong Dr Mahathir akan meletakkan calon bertanding di Slim.

Minggu lalu, Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Saifuddin Nasution dipetik mengesahkan Pakatan Harapan bersetuju tidak meletakkan calon untuk memberi laluan kepada wakil kumpulan penyokong Dr Mahathir yang dipecat dari Bersatu untuk bertanding.

PRK DUN Slim ditetapkan pada 29 Ogos ini selepas penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd Khusairi dari Umno yang mewakili Barisan Nasional menang dengan majoriti 2,138 undi mengatasi calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadzli Zainal.

Sementara itu, Umno Perak tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil itu akan ditandingi satu lawan satu antara calon BN dan Bersatu Blackout, kata Pengarah Operasi Pilihan Raya Mohd Zaidi Aziz.

Katanya, kumpulan itu juga sudah melakukan gerakan awal berkonvoi di kawasan Slim beberapa hari lalu, yang turut disertai timbalan presiden Bersatu yang dipertikaikan Mukhriz Mahathir.

“Bagaimanapun tiada pergerakan luar biasa kelihatan… mereka datang beramai-ramai, namun saya dimaklumkan tiada sambutan.

“Mereka telah menggerakkan jentera, tetapi mungkin hanya masuk sahaja untuk melawat kawasan,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Beliau yang juga pemangku ketua Umno Tanjung Malim berkata, Bersatu Blackout akan berdepan kesukaran kerana tidak mempunyai ramai penyokong di kawasan itu.

BN dijadual mengumumkan calonnya pada Rabu ini.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN, dengan 32 diwakili oleh Umno (25), Bersatu (4), dan PAS (3), sementara pembangkang mempunyai 27 kerusi terdiri daripada DAP (16), Amanah (5), PKR (3), bebas (2) serta Gerakan (1).

Tinggalkan komen anda