Dr M ‘cenderung’ rasa Lim mangsa penganiayaan politik


shadow

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya layanan adil diberikan kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang dituduh melakukan rasuah.

Beliau juga setuju dengan dakwaan bahawa tuduhan ke atas Lim adalah bermotifkan politik.

“Kami cenderung untuk rasa begitu,” katanya ketika disoal pada sidang media di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur petang ini.

Mahathir juga berharap bekas menteri kewangan itu tidak didiskriminasi.

“Beliau telah dituduh, beliau masih belum dibicarakan dan belum didapati bersalah. Oleh itu, kami berharap layanan perlu sama kepada semua orang.

“Anda tidak boleh mendapat layanan istimewa untuk orang ini dan bukan untuk orang itu. Diskriminasi seperti ini bukanlah keadilan. Saya fikir beliau akan menghadapi perbicaraan dan kita (akan) melihat bagaimana beliau diperlakukan,” jelasnya.

Awal hari ini, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dihadapkan di mahkamah atas tuduhan rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Lim menegaskan bahawa dia tidak pernah menerima apa-apa suapan pun.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tak pernah menerima sebarang suapan.

“Dan ini pun tak ditanyakan oleh SPRM (kepada saya). 

“Dia (SPRM) tak pernah bertanyakan mana suapan saya, sama ada dalam bentuk wang tunai atau pun dalam akaun bank saya. Tak ada puluhan juta, tak ada bilion ringgit.

“Jadi di mana rasuah?” katanya dalam sidang media di lobi mahkamah hari ini.

Katanya, pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah tidak berasas dan bermotifkan politik, dan semata-mata bagi mencemarkan reputasinya.

“Saya akan lawan tuduhan rasuah ini yang saya rasa bermotifkan politik, tak berasas, untuk mencemarkan nama baik saya sebagai seorang anggota parlimen dari pembangkang.

“[…] Kita akan serah kepada mahkamah untuk membuktikan bahawa saya memang tak bersalah,” katanya lagi.

Terdahulu, setiausaha agung DAP itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan meminta suapan yang dikenakan ke atasnya.

Lim dituduh meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

Permintaan itu didakwa dibuat Lim sebagai ganjaran bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim dituduh membuat kesalahan itu pada bulan Mac 2011, berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur, semasa menjawat jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Pertuduhan ke atas anggota parlimen Bagan itu dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Lim juga akan dituduh untuk kesalahan membabitkan kes terowong yang sama pada 10 Ogos ini manakala 11 Ogos pula untuk kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Tinggalkan komen anda