Dr M gesa Tengku Zafrul dedah senarai 101 projek


shadow

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz untuk menyenaraikan 101 projek yang diberikan melalui rundingan langsung sepanjang tempohnya menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin berusia 95 tahun itu berkata pendedahan Tengku Zafrul di Parlimen semalam telah menyindir bahawa kerajaan PH bertindak salah ketika kontrak bernilai RM6.61 bilion diluluskan.

“Sepatutnya Menteri Kewangan hendaklah dedahkan nama-nama mereka yang dapat projek berkenaan supaya rakyat akan tahu siapa yang melakukan perbuatan ini. 

“Kalaupun Tengku Zafrul berkata bahawa memang projek rundingan terus ini dibenar, tetapi pendedahannya dibuat seolah-olah ia adalah sesuatu yang tidak dibenar, dan satu kesalahan telah berlaku.

“Ini semua menimbulkan persoalan di kalangan rakyat, dan rakyat berhak mendapat maklumat penuh tentang siapa yang dapat, projek di mana, nilai nilai projek ini. Supaya kita dapat tentukan siapa yang mendapat nikmat istimewa ini. Ini perlu didedahkan kepada rakyat,” katanya.

Dakwaan Zafrul di Dewan Rakyat semalam mendatangkan kekecohan dan menyaksikan ahli Parlimen Perikatan Nasional menekan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng untuk memberikan senarai projek berkenaan secara bertulis.

Pemuda Umno kemudian membuat laporan hari ini dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai 101 projek di bawah PH.

SPRM berkata mereka akan meneliti senarai 101 kontrak berkenaan untuk menentukan sama ada terdapat unsur rasuah.

Tinggalkan komen anda