Harga tinggi: Loke tolak dakwaan Wee berhubung projek KVDT2


shadow

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong kelihatan menyalahkan rakan separtinya dalam MCA, Liow Tiong Lai, apabila mendakwa harga projek trek berkembar kereta api terlalu tinggi, kata bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) Loke Siew Fook.

Liow merupakan menteri pengangkutan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Loke berkata, sebagai menteri pengangkutan beliau hanya membantu mengurangkan kos projek Trek Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) kerana langkah membatalkannya akan menyebabkan kos lebih tinggi dalam bentuk bayaran pampasan dan kos berkaitan.

Projek sepanjang 110km itu melibatkan 2 trek kereta api KTM, 1 dari Salak Selatan ke Seremban dan 1 lagi dari lokasi antara Kuala Lumpur Sentral dengan Angkasapuri ke Pelabuhan Klang.

Semalam Wee mendakwa bahawa juruperunding yang dilantik oleh kementerian berkenaan Opus Consultants mendapati kos sebenar projek sebanyak RM3.398 tidak dimaklumkan kepada Kabinet sewaktu Loke mengetuai Kementerian Pengangkutan.

Loke menolak dakwaan itu dengan berkata, pada 19 September 2018 beliau memaklumkan kepada Kabinet bahawa kos anggran projek berkenaan boleh dikurangkan kepada RM3 hingga RM3.5 bilion jika ia ditender semula.

Susulan itu kementerian mencadangkan supaya kontrak dengan syarikat Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd dibantalkan dan projek berkenaan ditender semula.

“Mesyuarat Kabinet pada hari tersebut memutuskan untuk membatalkan kontrak dengan DM-LTAT.

“YB Datuk Seri Dr Wee Ka Siong boleh mendapatkan pengesahan mengenai fakta tersebut melalui cabutan minit mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 19 September 2018,” katanya di Facebook hari ini.

Katanya, Opus Consultants tidak dilantik sebagai juruperunding kementerian, tetapi secara sukarela mengemukakan laporan berkait projek berkenaan, selain menambah bahawa ia bukan laporan rasmi atau lengkap, tetapi hanya berdasarkan maklumat yang diketahui umum.

Loke berkata, pada 15 Julai 2019 Kabinet membuat keputusan untuk meneruskan projek tersebutlebih rendah dengan kos 15% lebih rendah dengan mengambil kira implikasi perundangan dan bayaran pampasan sekiranya kontrak dibatalkan.

Dengan menuntut Wee meminta maaf berikutan “dakwaan tidak berasas” yang dibuat, Loke berkata, presiden MCA itu sepatutnya bertanyakan Liow sebagai bekas presiden MCA sebelum itu, kenapa beliau tidak mendapatkan khidmat penilaian pihak ke-3 sebelum meluluskan kontrak dengan Dhaya Maju.

“Kesimpulannya ialah pada hari ini menteri pengangkutan MCA telah membatalkan projek KVDT2 yang diluluskan oleh bekas menteri pengangkutan MCA sebelum ini kerana beliau percaya kos asal diluluskan menteri sebelum ini terlalu tinggi.”

Semalam Wee berkata, kementerian akan membuka semuka tender projek tersebut selepas ia mendapati kos projek adalah jauh lebih rendah daripada harga yang dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan PH sebelum ini bersetuju supaya Dhaya Maju meneruskan projek berkenaan pada kos yang diturunkan 15% daripada RM4.475 bilion kepada RM5.265 bilion.

Tinggalkan komen anda