Hisap vape di Dewan Rakyat, Hishammuddin mohon maaf


shadow

MENTERI Luar Negeri Hishammuddin Hussein memohon maaf selepas videonya menghisap vape di Dewan Rakyat hari ini tersebar.

“Maaf, saya tidak menyedarinya (kerana) ia tabiat baharu. Saya minta maaf kepada Dewan Rakyat dan berjanji tidak akan melakukannya lagi,” tulisnya di Twitter.

Menteri itu menjawab kepada pengguna Twitter Mhd Shamin (@shamienhereyo) yang menyiarkan video berdurasi sembilan saat menteri itu menghisap vape di dalam Dewan Rakyat.

Tweet Shamin itu sudah diulang ciap lebih 700 kali. 

Dalam video itu Hishammuddin dilihat menghisap vape di sebalik topeng muka yang dipakainya ketika duduk di belakang Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang sedang bercakap.

Rokok elektronik itu dilihat keluar dari topeng muka ahli Parlimen Umno berkenaan.

Tidak ada tarikh bila kejadian itu berlaku tetapi dipercayai terjadi pada petang Isnin ketika Wee menyampaikan hujah penggulungannya.

Bekas Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengenakan larangan merokok di Parlimen selepas Pakatan Harapan berkuasa pada 2018.

Pada 15 Oktober 2018, Parlimen diisytiharkan sebagai zon larangan merokok sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membendung tabiat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seorang ahli Parlimen adalah antara lapan orang yang diberi notis kompaun setelah larangan itu dikuatkuasakan di bangunan berkenaan.

Sementara itu, ahli parlimen Wong Shu Qi (Kluang-PH), telah merujuk insiden Hishammuddin kepada timbalan speaker Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat-Bersatu) dan meminta Hishammuddin meminta maaf kepada Parlimen.

Tinggalkan komen anda