Izin masuk Istana ‘bukti’ saya negatif Covid-19 – Khairuddin


shadow

Dihujani kritikan selepas dilaporkan tidak menjalani kuarantin setelah pulang dari Turki, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini berkata dia telah disahkan negatif Covid-19.

Menurut The Star, Khairuddin bahkan berkata dia dibenarkan masuk ke Istana Negara pada 17 Ogos lalu – sesuatu yang menurutnya pasti tidak akan berlaku jika dia positif wabak tersebut.

“Mandatori untuk membuat ujian swab sebelum dibenarkan masuk ke Istana,” katanya seperti dipetik laporan itu.

Kata Khairuddin lagi, dia telah membuat ujian Covid-19 sebanyak tiga kali, iaitu ketika tiba dari Turki pada 7 Julai, pada 13 hari kemudian, dan baru-baru ini sebelum hadir ke satu acara di Istana Negara.

Dia berkata demikian ketika mengulas kritikan pelbagai pihak terhadapnya kerana tidak menjalani kuarantin 14 hari setelah pulang dari negara itu, awal bulan lalu.

Malah, satu petisyen dalam talian nenuntut ahli Parlimen Kuala Nerus itu meletakkan jawatan turut dimulakan dan setakat ini hampir mencecah 20,000 tandatangan.

Perkara itu mula dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Parlimen pada 18 Ogos, mendakwanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selepas melakukan lawatan ke luar negara.

Susulan itu, nama Khairuddin mula menjadi perhatian di medial sosial dengan ramai yang mempersoalkan apa yang didakwa sebagai layanan berbeza dengan orang biasa yang dikenakan tindakan selepas melanggar SOP.

Baru-baru ini seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.

Seorang pemilik restoran di Kedah pula dihukum penjara lima bulan serta denda RM12,000 kerana kesalahan sama. Lelaki terbabit adalah kes yang mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga.

Mengikut peraturan yang dikuatkuasakan, mana-mana individu yang baru tiba dari luar negara perlu menjalani kuarantin selama 14 hari. Pada tarikh kepulangan Khairuddin, kerajaan masih membenarkan kuarantin kendiri.

Bagaimanapun selepas beberapa kes ingkar arahan itu dikesan, kerajaan memutuskan untuk mewajibkan mereka menjalani kuarantin di pusat yang ditetapkan bermula 24 Julai.

Terdahulu, sumber yang dekat dengan Khairuddin menyatakan dia didapati negatif Covid-19, selain mendakwa Turki sebagai negara zon hijau. Untuk rekod, ketika lawatan itu Turki mencatatkan lebih 5,600 kes Covid-19 baru dan 93 kematian.

Kata sumber itu lagi, ujian dibuat pada 7 Julai di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur dan mengambil masa kira-kira lima jam.

Hari ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali memberi jaminan bahawa tiada layanan dua darjat, dan tidak ada sesiapa yang akan terlepas daripada tindakan jika terbukti melanggar undang-undang berkaitan Covid-19.

“Tidak ada yang atas terlepas, orang bawah terkena; tidak ada orang di atas tak kena tangkap, orang bawah kena gari… tak boleh macam itu,” katanya seperti dipetik portal Sinar Harian hari ini, ketika mengulas isu tersebut.

Tinggalkan komen anda