Ketua Polis Negara jumpa Asri Janggut


shadow

KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini mengadakan pertemuan dengan pengusaha burger Asri Abdul Hamid atau Asri Janggut susulan pendedahan lelaki itu mengenai kegiatan mesin judi dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh, yang kini menjadi siasatan pihak berkuasa.

Pertemuan di pejabat Abdul Hamid di Bukit Aman difahamkan bertujuan bagi mendapatkan gambaran terperinci mengenai pendedahannya yang dikatakan tidak mendapat perhatian pihak berkuasa.

“Terima kasih saudara Asri, pengasas Hot Burger Malaysia kerana sudi hadir ke pejabat saya,” tulis Abdul Hamid di akaun Facebook rasminya, mengiringi foto pertemuan mereka.

Asri juga hari ini mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin di bangunan Parlimen.

Pertemuan hari ini menyusul kenyataan Abdul Hamid semalam yang berterima kasih kepada Asri kerana pendedahannya. Melalui laporan media semalam, Ketua Polis Negara juga menjanjikan tindakan tegas segera, termasuk ke atas pihak berkuasa yang bersekongkol.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar bagaimanapun menafikan dakwaan dalam pendedahan itu, yang dikatannya memfitnah pihak berkuasa dan menjatuhkan reputasi pasukan polis. Beliau memaklumkan satu laporan polis juga dibuat terhadap Asri.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga mendakwa pendedahan Asri bersifat fitnah.

Rakaman video yang tular itu kemudian terus mendapat perhatian umum termasuk dalam kalangan ahli politik susulan aduan balas terhadap Asri.

Dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir mempersoalkan tindakan polis menyiasat pengadu dan bukannya perkara yang diadu.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan ia sedang bekerjasama dengan pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kemungkinan rasuah bagi melindungi kegiatan jenayah di sekitar Sungai Buloh.

Bukit Aman juga dipetik mengesahkan sudah memulakan siasatan.

Dalam pendedahannya di Facebook, Asri mendakwa pihak berkuasa memejam sebelah mata terhadap kegiatan kedai judi yang berlarutan sampai ke dinihari, walaupun ada sekatan waktu perniagaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau hairan kenapa aduannya sebelum ini tidak diambil tindakan oleh, sebaliknya aduan itu bocor kepada sindiket perjudian.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan nyawanya terancam susulan membuat pendedahan secara terbuka terhadap pihak berkuasa.

Tinggalkan komen anda