Kurang penerbangan ke Sarawak ‘himpit’ pengusaha hotel


shadow

Pengusaha hotel di Sarawak ‘terhimpit’ susulan perintah sekatan bagi mencegah penularan wabak Covid-19, terutamanya selepas pengurangan jumlah penerbangan ke negeri itu selama 2 minggu, menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Pengerusi MAH Sarawak Mohd Ibrahim Nordin berkata, industri tersebut sudah sedia terkesan sejak negara dilanda wabak itu pada Mac.

“Sekarang, pengurangan jumlah penerbangan keluar masuk ke Sarawak semakin memburukkan keadaan. Kami ‘terhimpit’ (pada masa ini). Pengendali hotel terpaksa mengecilkan operasi dan bilangan kakitangan mereka,” katanya.

Bulan lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengurangkan penerbangan dari 1 hingga 14 Ogos berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu.

“Jumlah keseluruhan perniagaan meningkat 2 angka pada Julai tetapi jatuh pada Ogos susulan pertambahan kes dan penemuan kluster baru Covid-19 di Sarawak.

“Kami menjalankan pemeriksaan rambang pada Julai dan mendapati kadar purata tempahan hotel di bandar raya adalah 22%, sementara hotel resort mencapai kadar tempahan puncak 66% hanya pada hujung minggu.

“Kadar purata tempahan hotel di Sarawak pada 2019 adalah 58%. Peratusan ini merosot kepada 22% tahun ini. Ini merangkumi hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin.

“Kebanyakan hotel yang berfungsi sebagai pusat kuarantin beroperasi pada tahap penuh dalam tempoh kuarantin wajib,” katanya kepada FMT.

Hotel yang tidak diwartakan sebagai pusat kuarantin terpaksa ditutup sementara kerana kadar tempahannya hanyalah 1 angka atau sifar dari 18 Mac hingga akhir Jun.

Beliau berkata, 18 hotel di Sarawak kini digunakan sebagai pusat kuarantin, berbanding 27 hotel sebelum ini.

Ibrahim berkata, bantuan kerajaan persekutuan kepada hotel selama 3 bulan “tidak mencukupi” kerana kos operasi kami tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pakej bantuan Sarawak yang diumumkan oleh Ketua Menteri Abang Johari Openg membawa kelegaan kepada industri pelancongan.

“Pakej Sarawakku Sayang penting kepada industri pelancongan. Misalnya langkah pelepasan lesen tempatan bagi tahun 2020 dan pengurangan cukai pintu serta fi penilaian bangunan,” katanya.

Bagaimanapun Ibrahim berkata, industri tersebut memerlukan lebih banyak bantuan daripada kementerian berkaitan untuk kekal mampan.

“Kami mengalu-alukan pakej diskaun lebih baik ke atas bil utiliti. Kami hanya mendapat potongan 15%. Kami mengharapkan diskaun sebanyak 50%,” katanya.

Tinggalkan komen anda