Lokap SPRM berhantu? Bekas KP tak pernah terima laporan


shadow

Benarkah lokap SPRM berhantu sebagaimana dakwaan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad yang berkata bekas pegawainya Zahid Md Arip memberitahunya dia terlalu tertekan kerana diganggu ‘hantu’ ketika ditahan di sel SPRM.

Bagaimanapun, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdull menafikan dakwaan bahawa lokap agensi tersebut berhantu.

Menurut Shukri yang telah berkhidmat lebih 30 tahun di SPRM sebelum ini, dia tidak pernah menerima cerita sedemikian mengenai lokap SPRM.

“Saya tak pernah terima laporan lokap SPRM berhantu sama ada dari pegawai SPRM atau orang luar,” kata Shukri kepada Malaysiakini apabila ditanya mengenai dakwaan tersebut.

Pada 17 Ogos, Isa dalam pembelaannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu pertemuan antara dirinya dengan Zahid dan beliau menegur bekas pembantunya yang “kelihatan kurus.”

Menurut Isa perjumpaan itu ketika beliau menziarahi keluarga bapa saudara Zahid yang meninggal dunia pada 2018.

“Saya bertanya khabar …

“Dia kata semasa dalam tahanan reman ada macam-macam benda.

“Dia ditahan di bangunan lama SPRM, dia kata salah satu sel berhantu. Disebabkan ketakutan dan tertekan dia terpaksa ‘implicate’ (membabitkan) nama saya untuk melepaskan dirinya,” kata Isa.

Ketika menjawab pemeriksaan utama oleh peguamnya, Salehuddin Saidin pada hari pertama prosiding bela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah, Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata beliau ada meminta Zahid membetulkan kenyataan yang mengaitkannya itu, namun perkara itu tidak berlaku. 

Tinggalkan komen anda