Moratorium bersasar bukan untuk lindung keuntungan bank – BNM


shadow

 Pelaksanaan moratorium dan bantuan kewangan bersasar bermula Oktober ini bukan bertujuan melindungi keuntungan bank, sebaliknya untuk menjamin sistem perbankan negara kekal kukuh khususnya dari segi penampannya untuk berdepan sebarang kemungkinan untuk tempoh seterusnya.

Kekukuhan penampan sistem perbankan akan membolehkan institusi kewangan terus mantap berfungsi dalam menyediakan akses pembiayaan kepada perniagaan dan isi rumah, yang mana amat diperlukan ketika ekonomi negara sedang meningkat semula seperti sekarang, demikian kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Bank juga katanya, memiliki obligasi untuk mempertahankan tabungan pelanggan serta kepentingan pelaburnya.

Beliau berkata, institusi perbankan di negara ini berada pada kedudukan kewangan yang kukuh sebelum pandemik COVID-19 dengan penampan yang mencukupi, sekali gus membolehkan mereka membantu peminjam melalui pemberian moratorium secara automatik.

Penampan yang mencukupi bermakna sistem perbankan di negara ini mempunyai mudah tunai yang mencukupi dan berada dalam kedudukan kukuh dengan lebihan penampan modal.

“Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia melaksanakan moratorium automatik pada skala yang besar dengan lebih 90 peratus peminjam mengambil moratorium automatik itu.

“Kita boleh melaksanakannya (moratorium automatik), bukan sebab kita bertuah, tetapi sebab kita melabur dengan banyak pada waktu senang untuk membina penampan kita dan untuk bank mengamalkan pengurusan risiko dan infrastruktur yang baik.

“Justeru, mereka mempunyai ruang dasar dan mereka mempunyai penampan untuk digunakan di waktu diperlukan. Namun adalah penting untuk kita berhemat menggunakan penampan yang dibangunkan itu,” katanya pada taklimat bersama pengarang kanan media mengenai prestasi ekonomi dan kewangan suku kedua 2020 pada Khamis.

Mengulas mengenai kegunaan penampan yang dibangunkan bank itu, Nor Shamsiah berkata, ia sama seperti individu, yang mana semua orang mempunyai penampan iaitu tabungan atau simpanan.

Beliau berkata, ketika individu mempunyai tabungan atau simpanan yang tinggi, mereka tidak berkira untuk berbelanja, namun jika tabungan atau simpanan rendah, individu akan menjadi sangat berhati-hati untuk berbelanja.

“Keadaan ini sama dengan bank. Apabila penampan menjadi sangat rendah, bank akan sangat berhati-hati untuk memberi pinjaman baharu,” katanya.

Selain itu, Nor Shamsiah menegaskan, adalah perlu diingatkan bahawa institusi perbankan juga mesti menjaga serta melindungi kepentingan pendeposit dengan memastikan mereka mengurus pinjaman dan pelaburan yang dibiayai menggunakan deposit dengan cara yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, pendeposit perlu diberikan jaminan tentang kekukuhan kewangan bank untuk terus menyimpan wang dan gaji mereka di dalam bank.

“Pendeposit telah pun memberikan amanah kepada pihak bank agar menggunakan simpanan untuk membiayai pinjaman kepada orang lain yang boleh membayar balik pinjaman mereka.

“Oleh itu, pihak bank perlu terus mengamalkan pengurusan risiko yang baik dalam pemberian pinjaman atau kredit kepada peminjam,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, nisbah permodalan yang dimiliki institusi perbankan Malaysia kekal tinggi untuk menyokong aktiviti perantaraan.

Beliau berkata, walaupun aktiviti ekonomi rendah dan kenaikan kos kredit menjejaskan keuntungan, bank di negara ini kekal utuh untuk menyokong aktiviti pembiayaan, yang mana penting untuk tempoh pemulihan ekonomi.

“Kami melihat sistem perbankan kita memiliki penampan kukuh untuk menyerap kerugian berpotensi pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, terdapat perkembangan positif dengan memperlihatkan jumlah peminjam individu dan perniagaan mula keluar daripada moratorium automatik dengan membayar semula pembiayaan mereka.

Beliau berkata, jumlah individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memilih untuk keluar daripada moratorium automatik meningkat kepada 619,000 pada Julai 2020 berbanding 336,000 pada April 2020.

Dalam pada itu, katanya, secara keseluruhannya, penyaluran pinjaman perniagaan oleh bank kembali pulih kepada paras normal Jun lalu berbanding tahap rendah dicatatkan pada April dan Mei disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, peningkatan penyaluran pinjaman perniagaan kepada syarikat-syarikat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya adalah untuk pinjaman modal kerja.

“Majoriti pinjaman yang disalurkan ini adalah daripada sumber pendanaan bank sendiri dan hanya sebahagian kecil daripada Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan pinjaman khas lain.

“SRF dan pinjaman khas lain mendapat permintaan tinggi yang menyediakan sokongan sampingan kepada PKS.

“Setakat ini, SRF telah meluluskan bantuan pinjaman kepada lebih 21,000 PKS dengan 80 peratus penerima adalah perniagaan mikro,” katanya.

Pinjaman perniagaan Jun lalu meningkat 12.6 bilion kepada RM67.7 bilion berbanding RM55.1 bilion pada Mei.

Tinggalkan komen anda