Peminjam digesa urus lanjutan moratorium dengan bank mulai Jumaat ini


shadow

PEMINJAM individu yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19 dan mahu kemudahan moratorium mereka dilanjutkan, perlu segera berurusan dengan bank masing-masing mulai Jumaat ini dan mengelak daripada melakukannya di saat-saat akhir.

Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata ini penting memandangkan langkah terbabit bukan lagi secara automotik.

“Permohonan lanjutan moratorium itu harus dilakukan segera oleh peminjam kerana ia bukan lagi automatik seperti dahulu.

“Kita juga tidak mahu mereka (peminjam) buat permohonan di saat-saat akhir. Jika datang pada hujung September, kita risau dari segi kemampuan bank-bank untuk mengurus permohonan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (Perkem) ke-15 dan pelancaran siri Webinar Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi)-Perkem 2020 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Shahar berkata permohonan di saat-saat akhir juga berkemungkinan memberi kesan apabila mereka perlu mula membayar balik pinjaman pada Oktober sebaik berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September.

“Proses permohonan ini memakan masa. Jika mereka lewat (membuat permohbonan) maka Oktober nanti mereka perlu mula membayar.

“Ini pastinya memberi kesan terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, belum mendapat kerja atau mengalami pengurangan pendapatan,” katanya.

Shahar berkata nilai moratorium bayaran balik pinjaman yang diberi setakat 24 Julai lepas adalah berjumlah RM62.8 bilion yang melibatkan kira-kira 7.7 juta peminjam yang mana 243,000 adalah perusahaan kecil dan sederhana.

Sementara itu, mengulas penganjuran program hari ini, Pengerusi Legasi Jefridin Atan berkata implikasi pandemik Covid-19 mendorong kepada inovasi dan penganjuran siri webinar menggunakan aplikasi Zoom dan Facebook secara ‘live.’

Menurutnya, sebanyak lima webinar Legasi-Perkem dirancang tahun ini yang melibatkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Unit Perancang Ekonomi, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF).

“Perkem mampu dan mempunyai potensi untuk menjadi platform intelektual dan input penggubalan polisi dengan mengambil aspirasi kejayaan (penganjuran) Forum Ekonomi Dunia di Davos, Forum Boao untuk Asia di Hainan, China dan juga WIEF,” katanya yang juga Pegawai Khas bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi. – Bernama

Tinggalkan komen anda