Rayhan Kabir direman 13 hari


shadow

WARGA Bangladesh Md Rayhan Kabir direman selama 13 hari bermula esok selepas Mahkamah Khas Kes Pendatang Tanpa Izin (Pati) Semenyih, membenarkan permohonan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini.

Hakim Saifulakmal Md Said membenarkan permohonan reman itu supaya pihak imigresen dapat menjalankan siasatan selanjutnya.

C Selvaraja yang dilantik keluarga Md Rayhan sebagai peguam bela berkata, anak guamnya berusia 27 tahun itu ditahan reman sehingga 19 Ogos ini.

“Beberapa isu sudah dibangkitkan oleh pihak imigresen bagi tujuan siasatan. Kami sudah menghujahkan apa yang sepatutnya di hadapan hakim bagi membantah permohonan reman itu.

“Namun, hakim memutuskan untuk membenarkan permohonan reman 13 hari sahaja bermula esok,” katanya kepada pemberita di luar Depoh Imigresen Semenyih.

Beliau turut menjelaskan kekeliruan awam yang menyangka hari ini adalah lanjutan reman terhadap Md Rayhan tetapi ia adalah sebaliknya.

“Mengikut undang-undang imigresen, apabila seseorang warganegara asing ditahan, tempoh tahanannya adalah 14 hari. Kalau kita baca Perlembagaan Persekutuan Perkara 5, jika warganegara dalam masa 24 jam perlu hadapkannya di hadapan seorang hakim ataupun majistret. Tetapi bagi warganegara asing tempoh 24 jam itu digantikan dengan 14 hari.

“Jadi, hari ini adalah permohonan reman untuk Md Rayhan, bukan lanjut reman. Saya harap kita jelas di sini. Ini reman kali pertama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat satu semakan di Mahkamah Tinggi mengenai apa yang sudah diputuskan hari ini.

“Kita akan hujahkan alasan-alasan kita kerana kita membantah atas dasar tertentu di Mahkamah Tinggi.

“Petang ini saya akan failkan permohonan semakan. Jadi saya tidak boleh sentuh mengenai apa yang mereka (pegawai penyiasat imigresen) katakan (di mahkamah) mengenai siasatan sebab dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu katanya, pihaknya diamanatkan keluarga Md Rayhan untuk menghantarnya pulang dengan segera.

Beliau berkata, pihaknya amat sensitif dengan keselamatan Md Rayhan namun mengakui anak guamnya itu ditahan secara baik dan tiada sebarang aduan diterima.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, Md Rayhan akan dihantar pulang ke negara asalnya seawal 31 Ogos ini.

Md Rayhan juga akan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini serta pas lawatan kerjanya juga sudah ditamatkan.

Rayhan ditahan pada 24 Julai lalu selepas diburu lebih dua minggu hasil bantuan orang awam.

Siasatan dimulakan pasukan polis susulan aduan ke atas kenyataan Rayhan yang disiarkan dalam dokumentari Al Jazeera bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown.

Laporan polis mendakwa kenyataannya dalam dokumentari tersebut berniat jahat untuk memburuk-burukkan Malaysia ketika mengendalikan warga asing sewaktu menangani Covid-19.

Tinggalkan komen anda