Siasatan audio Latheefa diserah ke Pejabat Peguam Negara


shadow

Siasatan berhubung pendedahan audio berprofil tinggi oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya Januari lalu sudah dilengkapkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, laporan siasatan itu juga sudah diserah ke Pejabat Peguam Negara pada 19 Jun lalu bagi mendapatkan nasihat dan pandangan untuk tindakan selanjutnya.

“Rakaman audio yang didedahkan oleh SPRM pada Januari 2020 adalah dibenarkan oleh undang-undang (discretionary power) dan tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen (Tanjong Karang-BN), Tan Sri Noh Omar yang bertanyakan sejauh mana tahap integriti, kredibiliti dan profesionalisme SPRM yang bertindak secara tidak wajar apabila mendedahkan bukti rakaman audio berprofil tinggi kepada umum.

Sebelum ini, Latheefa mempertahankan tindakannya mengadakan sidang media dengan memperdengarkan sembilan klip rakaman audio membabitkan beberapa individu berprofil tinggi.

Polis turut memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan susulan pendedahan klip audio oleh Latheefa itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda