Siasatan rasuah di Sg Buloh, lebih ramai akan ditahan, kata SPRM


shadow

LEBIH ramai pegawai agensi penguatkuasa akan ditahan berhubung kegiatan melindungi perniagaan haram dan perjudian di Sungai Buloh, Selangor, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan agensi penguatkuasa yang akan ditahan.

“Saya jangka mungkin ada lagi tangkapan dan saya ucap terima kasih kepada pemberi maklumat yang berani tampil.

“Saya minta semua sabar… kami akan menjalankan penguatkuasaan di bawah bidang kuasa kami,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Beliau ditemui selepas merasmikan pelancaran Program SPRM PUBG Mobile i-Challenge.

Hari ini, SPRM menahan tiga pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dipercayai melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, susulan pendedahan rakaman video yang tular sejak hujung minggu lalu.

SPRM percaya pegawai penguatkuasa yang terlibat menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan daripada setiap sebuah premis perniagaan, antaranya kedai judi, kedai makan tanpa lesen, gerai rokok, dan gerai yang menjalankan perniagaan di kawasan larangan.

Seorang peniaga rokok seludup warganegara Indonesia dari Acheh, seperti yang disebut dalam rakaman video itu, turut ditahan untuk siasatan.

Rakaman video yang tular sejak Sabtu lalu mendapat perhatian Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, yang mengadakan perjumpaan berasingan semalam dengan individu yang mendedahkannya di Facebook.

Dalam pendedahannya melalui rakaman video yang dipaparkan di Facebook, pengasas perniagaan Hot Burger Malaysia Asri Abdul Hamid atau Asri Janggut mendakwa pihak berkuasa memejam sebelah mata terhadap kegiatan kedai judi dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

Beliau hairan kenapa aduannya kepada pihak polis sebelum ini tidak diambil tindakan, sebaliknya aduan beliau bocor kepada sindiket perjudian.

Sementara itu, Azam tidak menafikan kegiatan yang didedahkan di Sungai Buloh berlaku di tempat lain.

“Saya tak nafikan yang kami terima maklumat dari seluruh negara berhubung kawasan perjudian atau rumah urut dan sebagainya yang dilindungi pihak berkuasa. 

“Dalam kita nak siasat rasuah ini, kita perlukan bukti dan keterangan saksi,” katanya.

Dalam pada itu, Azam juga berkata SPRM sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti kawasan berkenaan.

“Mana-mana yang berada di bawah bidang kuasa polis, kita serahkan kepada polis untuk tindakan.

“Untuk kami, kami melihat dalam isu rasuah sahaja,” katanya. 

Tinggalkan komen anda