Siti Kasim bebas tuduhan halang tugas pegawai JAWI


shadow

Mahkamah Majistret di sini, hari ini melepas dan membebaskan peguam dan aktivis, Siti Kasim, daripada tuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam acara di sebuah hotel pada 2016.

Majistret Tawfiq Affendy Chin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan terhadap kes tertuduh.

Tawfiq dalam penghakimannya berkata, pertuduhan terhadap Siti Kasim adalah cacat kerana tidak dinyatakan secara spesifik bentuk halangan berkenaan.

“Menerusi keterangan ketika perbicaraan, saksi pendakwaan bersetuju tertuduh memberikan kerjasama dan tidak menghalang pegawai JAWI menjalankan tugas sewaktu majlis makan malam di hotel itu,” katanya.

Tawfiq berkata, tindakan tertuduh hadir dalam majlis itu adalah lebih kepada seorang peguam dalam isu yang dipertikai iaitu ketiadaan waran tangkap.

“Dalam kes ini, JAWI seharusnya melakukan operasi mengikut prosedur ditetapkan iaitu mengemukakan waran tangkap ketika serbuan dibuat.

“Walaupun operasi serbuan adalah berdasarkan maklumat, mahkamah berpendapat acara itu dijalankan secara betul.

“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan ini tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Difahamkan, acara berkenaan adalah majlis makan malam tertutup membabitkan komuniti transgender di sebuah hotel di sini.

Sepanjang perbicaraan sejak 2017, enam saksi termasuk pengadu dan ketua operasi dipanggil memberi keterangan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 57, didakwa dengan sengaja menghalang pegawai JAWI, Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, 40, dalam melaksanakan tugasnya di sebuah hotel di sini, jam 10.30 malam pada 3 April 2016.

Siti didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Suzana Norlihan Alias dan Rajsurian Pillai.

Pada prosiding itu, peguam Arik Zakri Abdul Kadir dan Tay Kit Hoo, masing-masing dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Malaysian Bar hadir sebagai peguam pemerhati.

Tinggalkan komen anda