Tiada bahagian Bersatu di Kelantan terbubar, kata Kamarudin


shadow

Ketika banyak laporan mengenai pembubaran bahagian-bahagian Bersatu di seluruh negara, keadaan sebaliknya tidak berlaku di Kelantan.

Ketua Bersatu negeri, Kamaruddin Md Nor, berkata sehingga hari ini tidak ada bahagian atau cawangan parti itu di seluruh Kelantan dibubarkan.

“Bahkan tidak ada ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, AJK Srikandi dan Armada yang bertindak meletak jawatan.

“Keseluruhannya Bersatu Kelantan tetap teguh berdiri di belakang presiden merangkap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya situasi semasa Bersatu Kelantan selepas bekas pengerusi parti berkenaan, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembentukan parti baru.

Setakat ini beberapa bahagian Bersatu mengumumkan pembubaran atau sekurang-kurangnya ada dalam kalangan pemimpinnya meninggalkan parti berkenaan.

Antaranya di Johor, Selangor dan Kedah.

Kamaruddin berkata, mereka yang mengisytiharkan langkah keluar daripada Bersatu adalah golongan yang kecewa kerana kalah dalam pemilihan.

“Mereka yang isytihar meninggalkan parti adalah mereka yang kecewa kerana kalah dalam pemilihan baru-baru ini atau mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam pemilihan tersebut,” katanya yang juga ketua Bersatu bahagian Pasir Puteh.

Tinggalkan komen anda