51.6% kawasan sudah ada air, kata menteri


shadow

51.6% daripada kawasan yang terputus bekalan air di Lembah Klang telah kembali menerima bekalan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah mengarahkan Air Selangor untuk memaklumkan kepada pengguna tentang jadual pemulihan bekalan mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan. 

“Hal ini termasuk memenuhkan semua tangki-tangki utama yang telah kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya beliau juga telah mengarahkan SPAN supaya menghubungi operator air negeri lain seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd, Syarikat Air Melaka Bhd, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd untuk turut membantu mengagihkan air kepada pengguna yang terjejas.

Menurutnya sehingga kini, Air Selangor telah menggerakkan 114 lori tangki termasuk sembilan dari operator negeri lain, menyediakan 22 pili awam, menempatkan 70 tangki statik di 19 pusat khidmat setempat serta mengagihkan air minuman lima liter kepada pengguna yang terjejas.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata proses pendakwaan terhadap pihak yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tersebut, akan dilaksanakan minggu depan.

Beliau berkata pendakwaan dibuat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Tindakan penguatkuasaan bersama pelbagai agensi seperti SPAN, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa tempatan sedang berjalan, melibatkan kerajaan persekutuan dan negeri.

“Saya ingin tegaskan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan peruntukan perundangan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat pengurus kilang berusia dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran berkenaan direman enam hari bermula hari ini. 

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang berkenaan pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.  – Bernama

Tinggalkan komen anda