Abang Veveonah pertahan dakwaan adiknya


shadow

ABANG kepada Veveonah Mosibin, Mekvin tampil mempertahankan adiknya berkaitan dakwaan terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

Menerusi catatan di Facebooknya, Mekvin berkata adiknya memuat naik video ke YouTube adalah untuk berkongsi pengalaman kesukaran hidup di kawasan pedalaman di mana capaian internet sangat bermasalah.

“Video yang adik saya buat tu, hanya untuk mengongsikan kisah hidup sebenar tetapi bukan untuk meminta apa-apa, tetapi tiba-tiba rakyat suka dan adik saya tidak tahu bahawa itu adalah satu isu yang besar,” tulisnya.

Tetapi video tersebut tular sehingga mendapat perhatian politikus dan Mekvin meminta pemimpin yang mendakwa adiknya menipu untuk turun padang melihat kesusahan hidup di pedalaman.

“Kalau kau YB, turun padanglah masuk semua kampung pedalaman, dan kau akan rasakan kehidupan orang kampung baru kau tahu, bukan juga kau mahu tahu surat menyurat, mesej dari orang yang tidak tepat,” kata Mekvin lagi.

Semalam, Ahli Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri mempertahankan dakwaan bahawa Veveonah tidak menduduki sebarang peperiksaan universiti pada Jun.

Dalam coretan Facebook yang sudah dipadam kerana dikecam hebat, Abdul Rahim mendakwa “siasatan” pihaknya mendapati Veveonah bukan lagi penduduk Kg Sepatalang.

Rahim berkata beliau meminta pegawainya, Ambang Sobul dari Kg Bilangau Kecil yang terletak bersebelahan Kg Sepatalang untuk menyiasat dakwaan Veveonah bahawa pelajar itu terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

“Seperti keterangan kedua-dua ketua kampung… ibu bapa pelajar ini sudah terlalu lama tidak tinggal di Kampung Sepatalang kerana bapanya Mosibin [email protected] adalah bekerja di KPD (Koperasi Pembangunan Daerah) di pekan Pitas.

“Mereka sebenarnya  tinggal menetap di pekan Pitas yang ada khidmat internet. Sebenarnya dia tidak ada rumah di Kampung Sepatalang seperti yang dia (Veveonah) dakwa..oleh itu macam mana pelajar ini boleh mendakwa dia belajar di atas pokok di Kampung Sepatalang sedangkan dia sebenarnya tinggal di pekan Pitas,” katanya.

Tinggalkan komen anda