Belum ada pengumuman rasmi kebenaran buat umrah


shadow

Tiada sebarang pengumuman rasmi dari Kerajaan Arab Saudi berhubung kebenaran menunaikan umrah setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata perkara itu disentuh beliau dalam pertemuannya dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussein Saeed Qattan, empat hari lepas.

“Saya bertemu dengan Duta Arab Saudi lebih kurang empat hari lepas, saya ada utarakan.. rasa-rasa bila (agaknya) visa umrah secara rasmi dibuka, dan beliau nyatakan setakat ini tidak ada pengumuman rasmi mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pasca Perkahwinan Islam Fasa ‘Sehati Sejiwa’ 2020 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai program berkenaan, Zulkifli berkata ia merupakan projek perintis sebagai sebahagian daripada insiatif bagi mengurangkan kadar penceraian dalam negara.

Kursus yang dihadiri 15 pasangan suami isteri itu diadakan khusus bagi memantapkan ilmu dan pengetahuan peserta ke arah mengukuhkan keharmonian rumah tangga bagi mendepani pelbagai cabaran kehidupan termasuk ujian pandemik Covid-19.

– Bernama

Tinggalkan komen anda