Bukan saya tak sayang orang Semenanjung – Shafie


shadow

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menzahirkan penghargaan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang katanya sentiasa memberikan kerjasama baik kepadanya dalam usaha melakukan perubahan di Sabah.

Berucap semasa berkempen di Kunak, Shafie memberikan contoh bagaimana Mahathir bersetuju dengan pemintaannya supaya hak pemilikan syarikat pembekal elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang dimiliki kerajaan persekutuan, diserahkan semula kepada kerajaan negeri Sabah.

“Saya terima kasih banyak dengan Tun (Mahathir). Banyak dia setuju. Bila saya minta (dengan) Tun, bila saya bincang dengan dia: Tun, kita band (bekerjasama), kita bina negara.

“Tun sudah 90 tahun, saya 64 tahun, tapi kita kena bina negara. Malaysia kita sayang walaupun kita dipisah Laut China Selatan ini. Saya sayang orang Semenanjung, saya sayang isteri saya, orang Kedah. Bukan saya tak sayang.

“[…] Bila kita bersuara lantang menyuarakan ‘ini hak rakyat Sabah, hak Sabah’, (bukan) kita tak suka negara kita. Kita sayang negara kita,” katanya dalam program Santai Pagi di Kunak hari ini.

Shafie berkata demikian ketika menyorot masalah-masalah kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air yang dialami di Sabah, terutamanya di Kunak.

Kata Shafie, oleh sebab itulah, ketika dia mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah, dia merombak pentadbiran Jabatan Air Negeri Sabah, yang pernah menggemparkan negara apabila puluhan juta ringgit tunai dirampas daripada pegawai kanan jabatan itu pada 2016.

Ketika ditemui Malaysiakini tadi, beberapa penduduk mengaku masalah air masih menghantui mereka sehingga hari ini.

Dakwa mereka, sumber air hanya dibekalkan selama dua jam sahaja setiap hari untuk setiap kampung.

Kata mereka, masalah itu sudah berlaku untuk tempoh yang sangat lama.

Malah, masalah itu jugalah yang diharapkan dapat diselesaikan oleh wakil rakyat yang bakal menang PRN nanti.

Kunak (N63) menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Warisan, Norazlinah Arif -penyandang kerusi; calon BN, Halid Harun, calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Nur Aini Abdul Rahman; Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Utoh Joehann Angkie; Parti Cinta Sabah (PCS), Mohd Azman @ Abdul Samad Asiman; dan calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Hasbi Sariat.

Pada awal tahun lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dilaporkan mensasarkan masa dua tahun untuk memulangkan hak pemilikan SESB kepada Sabah.

Dua jawatankuasa turut ditubuh untuk mengkaji permasalahan membabitkan aspek kewangan dan teknikal sebelum pindah milik itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, Shafie pada bulan lepas berkata pindah milik itu tergendala selepas kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) dikatakan “menangguhkan” keputusan berkenaan.

Menurut Shafie, berdasarkan perlembagaan, kerajaan persekutuan menggalas tanggungjawab untuk memastikan keselamatan Sabah dan Sarawak, serta menyediakan kemudahan seperti prasarana, hospital, jalan raya dan sebagainya.

“Ada orang cakap kalau kita tak bergabung dengan kerajaan persekutuan, maka susah kita. Dalam perlembagaan itu tanggungjawab kerajaan persekutuan.

“Bergabung (atau) tak bergabung, tanggungjawab kamu. (Kalau) Mereka tidak tunai, saya bawa mereka pergi mahkamah!” katanya.

Tinggalkan komen anda