GPS tak boleh sokong Anwar jadi PM, kata Abang Jo


shadow

Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerana pemimpin pembangkang dilihat mementingkan diri sendiri berbanding negara, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

“Macam tak ada penghujung dengan pergolakan politik sebegitu di Malaysia.

“Tengok… Sekarang ini masih ada orang tak sabar nak jadi perdana menteri sedangkan rakyat sedang merana memohon bantuan sana sini dan kita mahukan keadaan politik stabil supaya dapat membendung Covid-19 dan pulihkan kembali ekonomi kita,” kata Abang Johari di konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Betong hari ini.

Presiden PBB itu mengaku terkejut dengan tindakan Anwar itu. 

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Anwar dalam ucapannya namun menyentuh kenyataan presiden PKR itu pada Rabu lepas bahawa kerajaan Muhyiddin Yassin telah tumbang kerana Anwar mengaku mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Abang Johari beranggapan pertembungan politik antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar telah berakhir Februari lalu.

Sejak itu GPS secara jelas menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Tambah Abang Johari, GPS tidak menyokong Muhyiddin atas kapasiti peribadi sebaliknya kerana mahukan kerajaan yang stabil.

“Kita sokong dia untuk kerajaan yang stabil,” katanya.

Tambahnya lagi kepada ahli PBB, GPS tidak akan sama sekali menyokong mereka yang mengutamakan kepentingan politik peribadi.

“Memang kita berkawan, tapi rakyat lebih penting daripada persahabatan.

“Kita dalam GPS ni ada prinsip. PBB juga sama. Kita dilatih untuk menjaga rakyat, bukan kepentingan peribadi,” ujarnya.

Selepas pengumuman Anwar Rabu lalu, Abang Johari dan dua pemimpin parti dalam GPS menolak dakwaan yang mereka dan parti mereka menyokong Anwar. 

Dua pemimpin dalam parti GPS yang bersuara itu ialah James Masing dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Dr Sim Hui Kian dari Sarawak United People’s Party (SUPP)

Masing mendakwa beliau tidak pernah dihubungi Anwar, malah mendakwa kenyataan Anwar itu bertujuan mengganggu pilihan raya negeri Sabah.

Anwar sehingga hari ini belum memberitahu jumlah kerusi yang dikatakannya dapat membentuk kerajaan, tetapi berkata akan memberi senarai lengkap ahli parlimen yang menyokongnya selepas menghadap Yang Di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Agong kini masih lagi berada dalam wad di Institut Jantung Negara dan dijangka akan ‘membuka pintu istana’ minggu hadapan, menurut kenyataan rasmi pihak Istana Negara. 

Tinggalkan komen anda