Ingkar PKPP: 264 individu di pusat hiburan dikompaun RM1,000


shadow

Seramai 264 individu dikompaun RM1,000 kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan berhibur di premis pusat hiburan di sekitar bandar raya itu dan di daerah Kulai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor ACP Mohd Afzanizam Yahaya berkata mereka adalah sebahagian daripada 295 orang yang diperiksa dalam empat serbuan di beberapa pusat hiburan kelmarin dan tadi malam.

Beliau berkata dalam serbuan pada 11 malam, kelmarin, seramai 152 individu didapati berhibur di sebuah pusat hiburan di bandar raya itu diperiksa dan tiga daripada mereka yang berumur antara 23 dan 36 tahun didapati positif dadah.

“Turut ditahan seorang lelaki berusia 32 tahun mengaku sebagai pemilik premis itu dan gagal mematuhi syarat lesen perniagaan kerana menjual dan menghidang minuman alkohol, selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta prosedur operasi standard (SOP) perniagaan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, di Johor Bahru, semalam.

Beliau berkata dalam tiga serbuan di premis hiburan di sekitar bandar raya Johor Bahru dan Kulai malam tadi pula, seramai 143 individu diperiksa.

“Operasi secara serentak itu dilakukan bermula 12.30 tengah malam tadi sehingga 8.30 pagi ini (6 Sept) dan hasil ujian saringan air kencing terhadap mereka yang diperiksa mendapati 31 orang berumur antara 17 dan 56 tahun positif dadah,” katanya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda