Jangan bergantung kepada nilai ringgit sahaja untuk berdaya saing, kata menteri


shadow

SEKTOR perniagaan tidak seharusnya bergantung kepada nilai ringgit semata-mata untuk meningkatkan daya saing, kata menteri kewangan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata sebaliknya sektor ini sewajarnya menumpukan langkah peningkatan produktiviti dan inovasi serta pengurangan kos.

Beliau berkata sejak akhir Mac, sentimen pelabur dalam pasaran kewangan dunia semakin positif berikutan pelaksanaan segera tindak balas dasar oleh bank pusat dan kerajaan di seluruh dunia untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19.

“Berikutan perkembangan ini, mata wang ringgit telah menambah nilai sebanyak 4.2% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) sejak akhir Mac (sehingga 18 September), sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang berubah dalam lingkungan 4.8% hingga 10.9%,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee mengenai langkah yang diambil Kementerian Kewangan dalam membendung prestasi nilai ringgit yang semakin merosot.

Tengku Zafrul berkata bagi jangka panjang, nilai ringgit akan didorong terutama oleh kekuatan asas ekonomi negara.

Kerajaan akan terus menumpukan usaha bagi meningkatkan daya tahan ekonomi dengan mempelbagaikan sumber pertumbuhan, memperkukuh daya saing dan kedudukan fiskal negara, katanya.

“Sehingga 18 September, 2020 nilai ringgit telah menyusut sebanyak 0.5% berbanding dolar AS berikutan ketidaktentuan perkembangan geopolitik, kemerosotan sentimen pelabur dalam pasaran kewangan dunia susulan kebimbangan ketara membabitkan penularan Covid-19 dan kejatuhan harga minyak global,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun memandangkan negara masih merupakan pengeksport bersih, mata wang ringgit yang kompetitif mempunyai kelebihan secara amnya.

“Dalam persekitaran global yang mencabar serta pasaran kewangan dunia yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan penting sebagai penyerap kejutan terhadap keadaan luaran yang berubah-ubah tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi domestik.

“Namun begitu, volatiliti ringgit yang ketara boleh meningkatkan ketidaktentuan dan menjejaskan aktiviti ekonomi berikutan kesukaran sektor perniagaan dan perindustrian merancang strategi serta mengambil keputusan yang wajar,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan, melalui Bank Negara Malaysia (BNM), akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan lebih teratur dan lancar.

Bank pusat juga komited dalam memperkenalkan langkah untuk memastikan kecairan ringgit mencukupi, pasaran terus kekal berdaya tahan dan aktiviti spekulasi dalam pasaran dikurangkan, katanya.

Beliau berkata langkah itu termasuk menetapkan syarat supaya sebahagian besar daripada hasil eksport dalam mata wang asing ditukarkan kepada ringgit bagi meningkatkan mudah tunai wang asing dalam pasaran dalam negara. – Bernama, 22 September, 2020.

Selain itu penguatkuasaan turut ditingkatkan ke atas peraturan pertukaran asing sedia ada bagi mencegah aktiviti spekulasi mata wang ringgit diniagakan di luar pesisir, katanya.

“Pada masa sama, BNM telah memperkenalkan instrumen pelindung nilai dan menyediakan fleksibiliti agar peserta pasaran kewangan dan sektor perniagaan boleh melaksanakan pengurusan risiko pendedahan mata wang asing dengan lebih baik,” katanya.

Tinggalkan komen anda