Juruaudit 1MDB ditukar kerana tekanan dari Najib, kata bekas CEO


shadow

TEKANAN dari Najib Razak menyebabkan firma audit KPMG digantikan dengan Deloitte, selepas firma itu enggan menandatangani akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 2013, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman berkata KPMG juga tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai pelaburan dalam Brazen Sky Ltd.

“KPMG tidak menandatangani laporan kewangan 1MDB bagi tahun 2013 kerana tidak berpuas hati dengan dokumen dan jawapan yang diberi kepada mereka.

“Oleh kerana Najib mendesak supaya akaun ditutup, dan kerana reputasi syarikat, pihak pengurusan memutuskan untuk mencadangkan kepada lembaga pengarah dan pemegang saham supaya menggantikan KPMG dengan Deloitte.

“Saya membuat keputusan ini kerana tekanan daripada beberapa pihak termasuk Najib, yang sering menelefon saya untuk memastikan penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2013 ditutup,” kata Hazem di mahkamah hari ini. 

Hazem, 47, merupakan saksi ke-10 pendakwaan dalam perbicaraan rasuah membabitkan Najib, yang berdepan empat tuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion dari 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang bagi jumlah yang sama.

Beliau sebelum itu memberitahu mahkamah mengenai pertemuan di kediaman Najib di Langgak Duta pada 15 Disember 2013 bersama pegawai KPMG berkenaan audit akaun 1MDB.

Menurut Hazem, Najib, yang juga menteri kewangan ketika itu, mempersoalkan mengapa KPMG bertanya banyak soalan walaupun BSI Bank di Singapura telah memberikan dokumen yang dikehendaki.

“Najib persoal kenapa KPMG curiga tentang pelaburan 1MDB kerana BSI Bank telah berikan penyata akaun.

“Najib kemudian beritahu Johan Idris (pegawai KPMG) supaya tutup akaun 1MDB sebelum 31 Disember 2013,” katanya.

KPMG merupakan juruaudit akaun 1MDB pada 2010, 2011 dan 2012. Pada 2013 firma itu digantikan oleh Deloitte, yang didenda RM2.2 juta tahun lalu berkaitan audit 1MDB.

Perbicaraan bersambung Khamis. 

Tinggalkan komen anda