Kilang cemar Sungai Selangor disita, denda


shadow

KILANG yang menjadi punca pencemaran Sungai Selangor dan menyebabkan gangguan bekalan air di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang akibat penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) telah disita dan dikompaun, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

“Kertas siasatan juga telah dibuka untuk pendakwaan,” katanya menerusi Twitter.

Amirudin berkata kerja pembersihan sungai sedang giat dijalankan, membabitkan penggunaan serbuk arang (activated carbon) untuk mengurangkan kesan bau pencemaran, pengepaman air dari kolam Bestari Jaya sebanyak 400 JLH dan pelepasan air Empangan Sg Tinggi.

Terdahulu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas sejak pagi semalam akibat pencemaran sumber air mentah masih belum beroperasi setakat 6.30 pagi tadi.

Amirudin berkata sehingga kini sebanyak 78 lori tangki, 22 lori tangki air jumbo, 54 tangki statik, 18 pusat khidmat setempat, 8 Pili Air Awam, serta sebanyak 23,000 botol air minuman 5 liter telah diaktif dan diagihkan ke kawasan yang terjejas.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi semalam.

Tujuh wilayah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sementara itu, Selangorkini melaporkan kilang yang mencemar Sungai Selangor itu pernah dikompaun RM60,000 sebelum ini atas kesalahan sama. 

Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian dipetik berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati kilang tersebut gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke sungai.

Tinggalkan komen anda