Lembaga pengarah 1MDB tak lulus pindah AS$699.3 juta kepada Aabar ‘palsu’


shadow

LEMBAGA pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak pernah meluluskan pemindahan AS$699.3 juta anak syarikatnya kepada entiti Aabar,  yang didakwa ‘palsu’ yang ditubuhkan di Seychelles, kata saksi perbicaraan membabitkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bekas perdana menteri itu dibicarakan atas dakwaan menyeleweng dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Saksi kesembilan pendakwaan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi semasa sesi soal jawab berkata lembaga pengarah tidak diberi taklimat atau diminta meluluskan pemindahan dana dari 1MDB Energy Holdings Limited kepada Aabar Investments PJS Limited (Seychelles).

Ketika disoal balas peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed, Shahrol Azral juga berkata beliau tidak tahu mengenai syarikat tidak aktif (shell company) kedua menggunakan nama Aabar.

Aabar BVI sebelum ini didedahkan sebenarnya sebuah syarikat tidak aktif yang didaftarkan di British Virgin Islands dan bukan anak syarikat sebenar International Petroleum Investment Company (IPIC), yang harus menerima dana tersebut.

Anak syarikat sebenar IPIC adalah Aabar Investments PJS tanpa “Ltd”. 

Wan Aizuddin: Adakah lembaga pengarah 1MDB diberi taklimat mengenai pemindahan wang kepada Aabar BVI?

Shahrol Azral: Tidak.

Wan Aizuddin: Setakat ini, adakah kamu tahu bahawa ada dua entiti Aabar Investments PJS Ltd iaitu satu yang diperbadankan British Virgin Islands dan satu lagi di Seychelles?

Shahrol Azral: Saya mungkin ada ditunjukkan dokumen semasa siasatan.

Wan Aizuddin: Kamu setuju ia tiada kaitan dengan Aabar yang sebenarnya?

Shahrol Azral: Saya tidak dapat berikan komen.

Tinggalkan komen anda