Lompat parti – perjudian yang membawa penyesalan


shadow

‘Perjudian’ dan politik tak dapat dipisahkan. Salah satu perjudian yang biasa dilihat adalah menukar sokongan dengan harapan mendapat kuasa lebih besar.

Bagi sekumpulan Adun Sabah yang melompat selepas PRU 2018, ia barangkali satu perjudian yang membawa penyesalan.

Sejumlah 13 Adun negeri itu yang keluar daripada parti komponen BN sejak PRU tersebut tiada dalam senarai calon mana-mana parti utama dalam pilihan raya kali ini.

Tanpa sokongan parti politik, 13 penyandang kerusi ini kemungkinan besar akan tewas jika mereka cuba bertanding sebagai calon bebas, atau di bawah tiket parti yang kurang dikenali.

Sepuluh daripada mereka terlibat dalam “Langkah Seri Anggerik”. Pada akhir Julai lalu, 14 Adun berkumpul di Seri Anggerik – rumah bekas ketua menteri Musa Aman di Kota Kinabalu – untuk mengumumkan penubuhan kerajaan negeri baru.

Rancangan itu dipatahkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin yang membubarkan DUN seterusnya membuka laluan kepada pilihan raya baru.

Daripada jumlah itu, hanya empat yang dicalonkan oleh parti-parti utama pada PRN yang akan berlangsung 26 September ini.

Adun Sugut, James Ratib diterima semula oleh Umno. Dia juga merupakan satu-satunya calon Umno atau BN yang akan mempertahankan kerusinya kali ini.

Limus Jury (Kuala Penyu) and Abd Muis Picho (Sebatik) – masing-masing menang dengan tiket Upko-BN dan Umno-BN pada PRU14 – menyertai Bersatu.

Abidin Madingkir (Paginatan) yang dahulu dalam Upko pula menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Sepuluh penyandang yang tidak tersenarai adalah Lasiah Baranting (Tandek), Abdul Rahman Kongkawan (Labuk), Kenny Chua Teck Ho (Inanam), Bolkiah Ismail (Pitas), Osman Jamal (Balung), Musbah Jamli (Tempasuk), Hamisa Samat (Tanjong Batu), Jamawi Ja’afar (Kemabong), Saddi Abdul Rahman (Sukau) dan Masiung Banah (Kuamut).

Perkara itu barangkali lebih pedih buat mereka yang kali pertama menjadi Adun iaitu Abdul Rahman, Chua, Osman and Jamawi yang – tidak seperti mereka yang sudah memegang kedudukan itu beberapa penggal – hanya akan mendapat sebahagian pencen wakil rakyat.

Tiga lagi yang keluar BN untuk menyertai Bersatu pada 2019 juga tidak disenaraikan sebagai calon. Mereka ialah Matbali Musah (Lumadan), Japlin Akim (Usukan) and Bobbey Ah Fang Suan (Nabawan).

Dalam PRN kali ini, tiga kerusi itu akan ditandingi calon dari Umno.

Perlu dinyatakan bahawa ini adalah kali pertama Bersatu bertanding di Sabah. Kesemua wakil rakyat parti itu sebelum ini adalah mereka yang menang ketika bersama parti lain.

Satu-satunya penyandang dari BN yang tidak tersenarai untuk mengekalkan kerusinya ialah Musa.

Ellron Angin, yang menang dengan tiket PBRS-BN pada 2018, akan bertanding sebagai calon Star, yang disertainya pada akhir 2018.

Secara ringkasnya, daripada 31 Adun Sabah yang terlibat dalam “Langkah Seri Anggerik”, hanya 17 yang dipilih sebagai calon oleh parti-parti utama.

Bakinya – dengan terbubarnya DUN Sabah – tersingkir daripada koridor kekuasaan negeri.

Di pihak Warisan Plus pula, sebanyak lima penyandang tidak tercalon. Kesemuanya dari Warisan.

Mereka adalah Jenifer Lasimbang (Moyog), Azhar Matussin (Karambunai), Uda Sulai (Petagas), Aidi Moktar (Pantai Manis) and Arifin Asgali (Sekong). Kesemuanya merupakan Adun penggal pertama dan memang menang dengan tiket Warisan.

Walaupun sekutu Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) menang enam kerusi dalam PRU 2018, hanya seorang penyandang yang dicalon semula, iaitu Ewon Benedick (Kadamaian).

Lima lagi Adun telah melompat sebelum DUN dibubarkan.

Tinggalkan komen anda