Mahkamah tolak cabar bubar DUN Sabah


shadow

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan 33 Adun Sabah untuk mencabar persetujuan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Keputusan itu membolehkan hari penamaan calon ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 12 September dan pengundian pada 26 September ini berjalan seperti dijadualkan.

Panel 3 hakim dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil yang menyampaikan keputusan itu berkata, tidak ada kesalahan oleh pesuruhjaya kehakiman Leonard David Shim dalam menolak permohonan untuk semakan kehakiman pada 21 Ogos.

“Rayuan itu ditolak dan kami mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Karim.

Beliau berkata, Juhar melaksanakan bidang kuasanya dengan betul mengikut perlembagaan Sabah dalam membubarkan DUN.

“Mahkamah tidak boleh mencampuri urusan berkaitan pembubaran. Yang di-Pertua Negeri menggunakan budi bicaranya berlandaskan perlembagaan Sabah,” katanya.

Panel lain adalah Abu Bakar Jais dan Supang Lian. Karim berkata hakim akan memberikan penghakiman bertulis kemudian.

Tinggalkan komen anda