Menteri kontroversi PAS mahu kelab malam ditutup buat selamanya


shadow

MENTERI PAS yang kontroversi, Khairuddin Aman Razali yang pernah menimbulkan kekecohan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin 14 hari selepas kembali dari Turki, hari ini berkata bahawa beliau bersetuju sepenuhnya jika kelab hiburan ditutup buat selamanya.

Menulis di Facebook hari ini, Khairuddin yang dikenakan denda RM1,000 kerana melanggar peraturan SOP Covid-19, berkata lebih baik bagi mereka yang mahu berhibur melakukannya di rumah “bersama rakan dan taulan”.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya mengenai lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini mengatakan, kebanyakan perniagaan dibuka selama tempoh ini, kecuali pub dan kelab malam, ia dilaksanakan bagi membendung penyebaran jangkitan Covid-19, kerana sukar untuk mematuhi penjarakan fizikal di premis sedemikian.

“Hanya pub dan kelab malam yang belum mulakan perniagaan. Tetapi saya merasakan itu adalah hal yang baik jika mereka tidak buka terus,” kata perdana menteri itu sambil tersenyum.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan pendakwah kontroversi Ridhuan Tee Abdullah yang memuji ucapannya.

Khairuddin, yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata bahawa kenyataan Muhyiddin tersebut adalah tepat.

“Tidak perlu berpesta sehingga mabuk lalu menimbulkan pelbagai lagi permasalahan,” tulis Khairuddin.

Khairuddin turut berkata hanya segelintir masyarakat yang suka kelab malam dibuka semula namun “Ramai yang tidak bersetuju”.

“Ikutlah suara ramai sebagai suara demokrasi majoriti dan minoriti,” katanya.

Ucapan Muhyiddin tersebut bagaimanapun tidak disambut baik oleh pemilik kelab dan pemuzik yang mencari nafkah di premis tersebut.

Kebanyakan mereka berkata masa depan mereka suram namun perdana menteri boleh menjadikannya bahan lucu.

Sementara itu, Khairuddin, yang sebelum ini dikenakan denda RM1,000 kerana melanggar peraturan kuarantin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, juga akan menghadapi tindakan mahkamah di atas pelanggaran peraturan tersebut.

Beliau disoal siasat polis yang berkata bahawa kertas siasatan telah selesai dan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Tinggalkan komen anda