Menteri PAS langgar perintah kuarantin kini masuk wad


shadow

SEORANG menteri daripada parti PAS, Khairuddin Aman Razali yang disiasat polis bagi kesalahan melanggar perintah kuarantin wajib mengumumkan beliau kini menjalani rawatan di hospital.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, menteri perladangan dan komoditi itu berkata beliau ditahan di wad untuk menjalani satu prosedur.

“Pertama kali berpengalaman masuk wad sebagai pesakit hari ini. Esok hanya prosedur kecil sahaja. Harapnya sehari dua mudah-mudahan sudah boleh keluar.

“Minggu lepas selepas pemeriksaan, doktor minta berehat seminggu namun tugasan yang banyak tidak mengizinkan untuk rehat sepenuhnya. Hanya boleh tangguhkan beberapa program,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga berkata beliau berharap akan segera sembuh untuk mengikuti program di Sabah dan juga di Sarawak pada hujung September.

“Jadual panjang menanti termasuk di Sabah dan Miri, Sarawak pada hujung bulan ini. Moga sempat kembali sihat. Doakan saya untuk terus sihat,” katanya.

Khairuddin mengumumkan demikian selepas timbul desas-desus bahawa beliau kini diarah bercuti sementara disiasat.

Laporan Malaysiakini pada Selasa yang mengutip kenyataan sumber kementerian mendakwa menteri tersebut diarah bercuti sejak minggu lalu.

Seorang pegawai Khairuddin pula dalam laporan sama menafikan perkara itu dan mendakwa Khairuddin masih bertugas seperti biasa.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada 23 Ogos lalu mengesahkan anak buahnya membuka siasatan ke atas Khairuddin.

Khairuddin kemudiannya bersama beberapa orang saksi tampil ke Bukit Aman untuk dirakam kenyataan pada 27 Ogos.

Siasatan itu menyusuli 27 laporan polis yang dibuat ke atas Khairuddin selepas menteri tersebut didapati tidak menjalani kuarantin sebaik pulang dari Turki pada 7 Julai.

Menurut polis, siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Penguatkuasaan Akta 342 itu mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Ia sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19.

Pesalah kali pertama mengikut akta itu boleh dikompaun maksimum RM1,000 oleh ketua pengarah kesihatan, dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika dihadapkan ke mahkamah oleh agensi penguatkuasaan.

Kementerian Kesihatan mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun pada 7 Ogos dan menteri itu sudahpun menjelaskannya.

Bagaimanapun kementerian itu menyerahkan kepada polis untuk siasatan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menegaskan tiada siapa terlepas daripada undang-undang.

Beliau menegaskan demikian walaupun tindak-tanduk Khairuddin itu dipertahan pemimpin PAS.

Antaranya, mursyidul am parti itu Hashim Jasin yang mengumpamakan Khairuddin seperti burung dalam surah al-Quran yang membawa keuntungan lebih besar walau melanggar peraturan.

Tindakan Khairuddin melanggar perintah kuarantin itu bagaimanapun mencetus cemuhan dan orang ramai yang meluat kerana individu dari kalangan orang awam dikenakan hukuman keras bagi kesalahan sama.

Tinggalkan komen anda