Pengumuman sekatan Covid-19 hanya daripada saya – Ismail


shadow

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pengumuman berkenaan apa-apa sekatan perjalanan bagi mengekang penularan Covid-19 hanya akan dibuat olehnya, berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan.

Ditemui ketika berkempen untuk calon BN di Sabah hari ini, Ismail juga menyifatkan laporan berkenaan perintah kuarantin mandatori dikenakan untuk warga yang pulang ke semenanjung dari Sabah sebagai “berita palsu”.

“Itu berita palsu. Kononnya saya, Kementerian Kesihatan (KKM) kata bahawa mereka yang balik dari Sabah ke semenanjung akan dikuarantin tak betul.

“Pergerakan antara Sabah ke semenanjung, Sabah ke Sarawak masih bebas,” katanya ketika sidang media di Libaran selepas melancarkan jentera kempen bagi N50 Gum Gum, N51 Sungai Manila dan N52 Sungai Sibuga.

Ismail ditanya mengulas laporan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bahawa KKM akan meneliti keperluan mengenakan perintah kuarantin kepada mereka yang kembali ke semenanjung dari Sabah selepas PRN negeri itu.

Dia kelihatan tidak tahu berkenaan kenyataan Adham yang dilaporkan Bernama hari ini. Ismail bagaimanapun memberi jaminan bahawa apa sahaja pengumuman berkaitan hanya akan datang daripadanya.

“Kalau ada pengumuman, ia akan dibuat oleh saya.

“Kalau ada perintah kawalan pergerakan (semula), kalau ada sekatan perjalanan, saya yang akan buat (pengumuman),” katanya.


BacaRakyat jadi penentu: PRN Sabah 2020


Mengulas lanjut, Ismail berkata penilaian KKM akan mengambil kira apa saja langkah yang wajar jika peningkatan kes baru dalam kluster Benteng LD di Lahad Datu dan Tawau terus berlaku di luar penjara di daerah itu.

“Jika (kes) kekal dalam penjara, tiada apa perlu dibimbangkan…Tetapi jika berlaku di luar, kita akan buat kajian menyeluruh dan pengumuman yang sesuai,” katanya lagi.

Dia memaklumkan secara keseluruhan, Sabah kekal sebagai zon hijau kecuali di balai polis Lahad Datu dan penjara Tawau.

“Kalau balik kena (kuarantin) 14 hari, saya pun kena (kuarantin) juga.

“Kalau kita lihat kes di Tawau hanya dalam penjara. Takkan orang yang ke tempat lain di Sabah (juga) kena kuarantin?” katanya lagi.

Setakat tengah hari ini, KKM menyatakan bagi kluster Benteng LD, sejumlah 293 kes positif disahkan di Tawau dan 88 kes di Lahad Datu.

Sementara itu, ketua menteri sementara Sabah Shafie Apdal menyatakan dia tidak mempunyai masalah andainya usul Adham itu diteruskan.

“Kerana kebimbangan saya walaupun keadaan di sini agak terkawal, tapi kita jangan ambil ringan. Sekiranya langkah itu perlu dilakukan, maka lakukanlah.

“Saya tak jadi masalah sangat pasal kita pun di peringkat negeri, command center kita yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri, setiap waktu akan meneruskan pemantauan kes sekiranya berlaku, dan cara untuk mengawalnya,” katanya ketika ditemui di program kempen di Pulau Bum Bum di semporna.

Tinggalkan komen anda