Penipuan Macau Scam terbaru babitkan kerugian RM200,000


shadow

Seorang pekerja swasta kerugian RM209,996.25 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa wanita berkenaan memiliki hutang kad kredit, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 48 tahun itu mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pihak ‘Public Bank’ pada 17 Sept.

“Pihak bank menyatakan pengadu mempunyai hutang kad kredit dan perlu menjelaskannya namun telah dinafikan oleh pengadu dan panggilan kemudian telah disambungkan ke ‘Bank Negara’ untuk pengadu membuat laporan mengenai kad kreditnya,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Beliau berkata wanita berkenaan juga telah disambungkan kepada seorang lelaki bernama Inspektor Yap daripada Jabatan Siasatan Jenayah yang memintanya untuk memberikan nombor hadapan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta 17 nombor pas pengesahan transaksi (OTP) yang diterima menerusi mesej yang dihantar ke telefon bimbitnya.

“Selepas tamat panggilan, pengadu telah membuat semakan dan mendapati wang dalam dua akaun bank miliknya berjumlah RM209,996.25 telah hilang,” katanya.

Aibee berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda.

– Bernama

Tinggalkan komen anda