Perjalanan domestik bantu perniagaan di KLIA, klia2


shadow

PREMIS perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 berharap perniagaan akan bertambah baik dengan adanya peningkatan jumlah pelancong domestik.

Dengan larangan perjalanan ke luar negara dikenakan kecuali bagi kes tertentu termasuk membabitkan pendidikan, outlet perniagaan di dua lapangan terbang paling sibuk di negara ini bersiap sedia berdepan kemungkinan tempoh kesukaran berniaga yang mungkin lebih lama.

Perniagaan mereka terjejas teruk sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, dengan pembukaan semula perjalanan domestik, ketibaan rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari luar negara dan beberapa perjalanan tertentu yang dibenarkan, peniaga outlet di lapangan terbang dapat sedikit harapan lebih cerah.

“Kami sangat gembira melihat jualan kembali meningkat secara perlahan-lahan. Keadaan lebih baik sejak perniagaan kami mula dibuka semula sejak tempoh arahan tutup dari Mac hingga Jun,” kata Ashikin, 22, eksekutif operasi di medan makan di klia2.

“Walaupun kami menawarkan diskaun untuk meningkatkan jualan, kami juga cuba untuk jimatkan kos, dengan kurangkan kekerapan penyelenggaraan. Contohnya, kalau dulu servis pendingin udara setiap bulan, sekarang kali pilih dua bulan atau tiga bulan sekali,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Satu lagi outlet makanan di lapangan terbang kos rendah itu, Burger King berkata perniagaan mereka juga mula bertambah baik dalam tempoh beberapa minggu ini.

“Sejak operasi perniagaan dibuka semula pada Ogos, kami melihat peningkatan 20% dalam jualan, kemudian naik 30% dan kini 50%.

“Pada masa ini, kami menerima kira-kira 70 hingga 120 pelanggan sehari. Sebelum PKP, biasanya pelanggan 200 hingga 300 sehari,” kata Hanis, yang bertugas menguruskan rangkaian makanan segera itu di klia2.

Beberapa premis lain turut menyatakan perniagaan bertambah baik kerana persaingan pasaran di lapangan terbang kini lebih kecil.

Tinggalkan komen anda