Pilihan pengundi hari ini beri kesan pada Muhyiddin, kata Kit Siang


shadow

Hari penentuan untuk Sabah apabila lebih 1.12 juta orang pemilih berdaftar akan mengundi wakil rakyat masing-masing mulai jam 8 pagi ini.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perjalanan PRN kali ini dari semasa ke semasa di sini.

LANGSUNG

Jalan jauh bikin panas

10.15 pagi: SMK Bukit Garam, Kinabatangan – Kerana tugas, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia tetap tabah mengambil bacaan suhu badan pengundi Lamag ketika badan mereka sendiri berbalut pakaian perlindungan dalam cuaca yang semakin membahang.

Walaupun belum sampai tiga jam bertugas sejak pusat pengundian itu dibuka, pancaran matahari sudah teruk.

Ia mendorong lebih ramai pengundi terpaksa dibiarkan ‘bertenang’ terlebih dahulu selepas bacaan suhu mencatatkan lebih 37 darjah Celsius.

Kebanyakan mereka memberitahu petugas terbabit, mereka perlu berjalan agak jauh dari kenderaan masing-masing sebelum sampai ke kawasan sekolah yang menjadi pusat pengundian.


Calon PN yakin menang

10 pagi: SK Serusup, Tuaran – Calon PN bagi DUN Sulaman, Hajiji Mohd Noor tiba dengan mengenakan baju batik berona jingga dan putih dan lengkap bersongkok dan berpelitup muka.

Dia hadir bersama isterinya Julia Salag untuk mengundi di situ.

Pengerusi Bersatu Sabah itu ketika ditemui pemberita selepas selesai membuang undi kira-kira jam 10.10 pagi menyifatkan proses pengundian berjalan dengan teratur, memuaskan dan mengikuti SOP yang ditetapkan.

“Mudah-mudahan pengundian ini akan selesai, dan semua boleh mengundi sebelum pusat ini ditutup,” katanya.

Menurut Hajiji lagi jika corak kehadiran pengundi kekal memuaskan, dia yakin mampu mencapai kemenangan besar di pusat daerah mengundi Kampung Serusup itu.


Harap ramai datang mengundi

10 pagi: PDM SK Pekan, Tambunan – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan tiba bersama isterinya Cecilia Edwin untuk mengundi.

Walaupun menjangkakan peratusan mengundi rendah kerana kebimbangan terhadap Covid-19, ahli parliken Keningau itu berharap orang ramai menunaikan tanggungjawab kerana langkah pencegahan dan berjaga-jaga diambil.

Dia bertanding untuk mempertahankan kerusi Tambunan yang memiliki 16,511 pengundi.


Datang empat kali

10 pagi: Kota Kinabalu – Veteran DAP, Lim Kit Siang, menganggap PRN hari ini seperti pilihan raya umum dan ia boleh memberi kesan terhadap kelangsungan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataannya, Lim mengingatkan pengundi Sabah bahawa pilihan mereka memberi kesan besar dan menyeluruh kepada Malaysia.

“Pengundi Sabah yang mengundi hari ini bukan saja memilih siapa menjadi ketua menteri tetapi masa depan perdana menteri Malaysia.

“Tidak pernah ada perdana menteri yang berkempen di Sabah segigih Muhyiddin sebelum ini,” katanya.

Menurut ahli parlimen Iskandar Puteri itu lagi, Muhyiddin datang ke Sabah sebanyak empat kali sejak bulan lalu namun tidak pernah melawat negeri berkenaan untuk tempoh enam bulan pertama menjadi perdana menteri.


Calon bebas puas hati

9.50 pagi: SRK Sacred Heart, Kota Kinabalu – Calon bebas untuk kerusi Api-Api, Sim See Heng, hadir untuk melihat perjalanan proses mengundi di pusat berkenaan.

Dia hadir selepas melaksanakan tanggungjawabnya di SJK(C) Chung Hwa.

Kata Sim dia berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian.

Di SJK(C) Chung Hwa pula katanya perjalanan proses mengundi berjalan dengan baik dan ada ruang yang cukup luas untuk membolehkan penjarakan fizikal dibuat.


Enggan terlebih yakin

9.30 pagi: SK Sugud, Moyog – Calon Warisan Plus untuk Moyog, Darell Leiking, tiba bersama isterinya, Jennifer Jongij.

Bagaimanapun pasangan itu hanya dapat mengundi selepas kira-kira 30 minit kerana menyapa permintaan orang ramai dengan sebahagian daripada mereka yang mahu berswafoto.

Ketika ditanya Darell, 49, enggan mengulas mengenai peluangnya untuk memenangi keruri berkenaan.

“Kita tak elok terlalu yakin,” katanya yang juga anggota parlimen penampang.

Ia merupakan kali pertama Darell bertanding untuk kerusi DUN.

Ada 19,465 pengundi berdaftar di kawasan Moyog dengan 71.12 peratus terdiri daripada etnik Kadazandusun Murut.

Selain Darell, ada enam lagi calon mencuba nasib termasuk PN, Parti Cinta Sabah dan Parti Bersatu Sabah.


Dapat kebenaran KKM

9.25 pagi: SMK Bukit Garam – Sebuah ambulans Jabatan Pertahanan Awam tiba membawa sepasang suami isteri yang sedang menjalani kuarantin kendiri. Mereka adalah pengundi berdaftar yang diletakkan bawah siasatan untuk kes Covid-19.

“Kami bukan pesakit positif, kami cuma dalam kuarantin,” kata salah seorang daripada mereka kepada pegawai perubatan yang bertugas untuk mengambil suhu badan pengundi.

Seorang petugas kemudian memberitahu Malaysiakini pasangan terbabit memiliki surat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengesahkan mereka boleh meninggalkan rumah untuk mengundi.


Periksa sebelum masuk

9.10am – PDM SK Pekan, Tambunan, Keningau – Pengundi dari Gereja Katolik Tambunan hadir untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sebelum dibenarkan masuk ke pusat pengundian, kakitangan SPR mengambil suhu badan mereka.

Turut kelihatan beberapa pengundi yang hadir dengan pakaian tradisional.


Calon PBS mengundi

9.10 pagi: : SJK(C) Chung Hwa, Kota Kinabalu – Calon PBS untuk kerusi DUN Api-Api, Yee Moh Chai, tiba untuk mengundi.

Sama seperti orang lain Yee menunggu giliran untuk mengikuti SOP yang ditetapkan sebelum diberi kertas undi.

Dia sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan orang ramai.

Yee tiba ditemani isteri dan seorang pembantunya.


Terima kasih wira negara

9 pagi: Ketika kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan di Sabah, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan, lima pegawai kesihatan dari Selangor dan lima lagi dari Negeri Sembilan dihantar ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

Katanya langkah berkenaan dibuat untuk mengukuhkan usaha mengekang jangkitan wabak berbahaya itu.

Menurut Noor Hisham 10 pegawai perubatan KKM itu tiba di Lahad Datu semalam.

Katanya mereka merupakan kakitangan dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah; Hospital Jempol, Hospital Jelebu, Hospital Tuanku Jaafar di Seremban dan Hospital Port Dickson.

Lima lagi ialah dari Hospital Serdang, Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam, Hospital Kajang dan Hospital Sungai Buloh.

“Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap-sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.

“Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira-wira negara ini,” katanya di Facebook.

Sebelum ini kumpulan pertama sudah dihantar ke Sabah membabitkan kakitangan dari Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur yang tiba di Tawau awal minggu ini.

Sehingga 12 tengah hari semalam, Sabah merekodkan 730 kes aktif dengan kebanyakannya berpusat di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak. 


Tetap yakin pada Warisan

8.30 pagi: SK Sugud – Seorang pengundi, Corney Lius, berkata untuk kerusi DUN Moyog, dia memilih calon Warisan Darell Leiking.

“Perjuangan mereka belum selesai,” kata pengundi berusia 40 tahun itu.

Katanya lagi, dia tidak percaya Warisan sebuah parti yang memperjuangkan nasib pendatang tanpa izin sebaliknya ia merupakan imej yang dipropagandakan oleh laskar siber musuh parti berkenaan.

“Saya tetap yakin kepada Warisan,” katanya.

Corney juga memberitahu sebahagian daripada lapan ahli keluarnya adalah pengundi Warisan.

Moyog merupakan kerusi majoriti Kadazandusun Murut.


Laluan masuk, keluar tunggal

9 pagi: SJK(C) Chung Hwa, Kota Kinabalu – Segelintir pengundi nampaknya masih belum biasa dengan SOP yang ditetapkan ekoran ancaman Covid-19.

Pusat pengundian dipersiapkan dengan hanya satu pintu masuk dan satu pintu keluar namun tidak semua pengundi menyedarinya.

Hal itu menyebabkan sesetengah mereka cuba keluar dari laluan mereka masuk sebelum mereka dibantu petugas untuk keluar dari jalan yang ditetapkan.

SPR juga menyediakan kerusi roda untuk memudahkan pengundi kurang upaya atau orang tua.


Bantuan buat yang memerlukan

8.35 pagi: SMK Bukit Garam, Kinabatangan – Pegawai SPR membantu warga emas, Nursalin Darum, 65, untuk mengundi bagi kerusi DUN Lamag.

Nursain dibantu dua pegawai SPR sehingga proses berkenaan selesai.


Peratusan pengundi mungkin turun

8.30 pagi: SK Bubul, Semporna – Mohd Shafie Apdal meninggalkan pusat mengundi setelah selesai membuang undi.

Ditanya pemberita di hadapan kenderaannya, Mohd Shafie mengaku mungkin akan berlaku penurunan kadar keluar mengundi akibat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang dilaksanakan di pusat-pusat mengundi.

“Biasanya dalam lingkungan 70 peratus lebih (keluar mengundi). Tetapi agak lambat, dan ditokok tambah oleh SOP, mungkin tidaklah seperti yang dahulu, tetapi mungkin kita akan pastikan mereka akan turun mengundi menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Berkenaan PRN yang dilakukan dalam masa wabak, terutamanya di Sabah, kata Shafie, kerajaan akan memastikan tindakan kawalan diperketatkan selepas PRN seperti tidak lagi menggalakkan ceramah dan perhimpunan, selain mengetatkan kawalan sempadan.

“Saya telah nasihatkan pengawalan sempadan contohnya, sebahagian besar datangnya wabak ini daripada jiran-jiran kita, terkadang itu mereka datang berziarah.

“Dan saya pun dah maklum kepada pihak Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) supaya perketatkan sedikit,” katanya sebelum pergi meninggalkan kawasan pusat mengundi.  


Calon yakin menang

8.20 pagi: SK Bingkor, Keningau – Calon Parti Solidariti Tanah Airku (Star) untuk DUN Bingkor, Robert Tawik Sudan, tiba mengundi di saluran 2.

“Kita berkeyakinan kita akan menang. Sokongan daripada PBS (Parti Bersatu Sabah) tambah mantap lagi,” katanya.

Sebelum ini, PBS mengumumkan untuk menghentikan kempen mereka di Bingkor dan Tambunan sebagai satu cara penyelesaian pertindihan kerusi antara mereka dengan dan Star.

PDM ini mempunyai jumlah pengundi seramai 1727 orang.


Saring sebelum mengundi

8.15 pagi: SJK(C) Chung Hwa, Kota Kinabalu – Pengundi disaring terlebih dulu sebelum dibenarkan masuk ke pusat pengundian.

Proses itu turut dipantau pegawai kesihatan bagi memastikan semua SOP yang ditetapkan – seperti penjarakan sosial dan pemeriksaan suhu badan – dipatuhi.

Untuk keselesaan pengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan kerusi yang disusun pada jarak satu meter antara satu sama lain sebagai langkah berjaga-jaga mengelak penularan Covid-19.

8.15 pagi: PDM SK Bingkor, Keningau – Stesen saringan disediakan kepada pengundi yang melebihi suhu badan 37.5℃ dan bergejala penyakit Covid-19.

“Mungkin ada pengundi yang suhu panas disebabkan cuaca dan sebagainya, kami akan saring dahulu, kemudian baru dibenarkan mengundi di sini,” kata seorang pegawai kesihatan. 


Shafie, isteri antara terawal

8.10 pagi: SK Bubul, Semporna – Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal tiba untuk mengundi. Dia tiba bersama isterinya, Shuryani Shuaib, dengan mengenakan baju putih dan berpelitup muka.

Petugas di kaunter masuk melaksanakan prosedur operasi standard yang ditetapkan sebelum membenarkan pasangan terbabit masuk ke pusat pengundian berkenaan.

Mohd Shafie sempat melambaikan tangan ke petugas media yang menunggunya sejak pagi sebelum bergerak ke bilik pembuangan undi. 


Sanitasi dua jam sekali

8.05 pagi: SK Sugud – Sekolah ini adalah satu daripada pusat mengundi untuk kerusi DUN Moyog. Sebagai langkah berjaga-jaga pegawai kesihatan melakukan sanitasi ke atas kotak kertas undi setiap dua jam.

Berpuluh-puluh pengundi – kebanyakannya berusia 20-an dan 30-an berbaris mengikut saluran yang ditetapkan.

Di luar kawasan sekolah, seorang lelaki memberitahu Malaysiakini ada perkhidmatan membawa datang pengundi ke situ disediakan pegawai anggota parlimen setempat.

Katanya bantuan tersebut diberi kepada pengundi yang tidak memiliki kenderaan untuk ke pusat pengundian.

“Ini arahan pejabat ahli parlimen. Kami bawa 10 pengundi bagi setiap perjalanan dari kampung berhampiran,” katanya.

Untuk calon kerusi DUN Moyog, Warisan diwakili Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking. Berlaku pertembungan tujuh penjuru untuk kerusi DUN ini.


8 pagi: Kinabatangan – Orang ramai mula berbaris di luar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam, Kinabatangan.

Mereka mula hadir dan menunggu di sini seawal jam 7.30 pagi tadi walaupun pusat mengundi hanya dibuka 30 minit kemudian.

Ia satu daripada 12 pusat mengundi untuk kerusi DUN Lamag.

Kerusi ini ditandingi Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dan dia akan mengundi di SMK Bukit Garam. Ada 2,503 pengundi berdaftar di pusat pengundian ini.

Secara keseluruhan ada 8,159 pengundi untuk kerusi Lamag yang terletak di bawah kawasan parlimen Kinabatangan. Bung Moktar ialah ahli parlimen kawasan terbabit sejak 1999.


PRN kali ini diadakan ekoran cubaan – yang digagalkan – Musa Aman mahu mengambil alih kerajaan negeri selepas sejumlah wakil rakyat Sabah berpaling tadah dan menyokong bekas ketua menteri itu pada akhir Julai lalu.

Sehari kemudian – atau pada 30 Julai – Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin, kemudian bersetuju dengan nasihat diberikan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal untuk membubarkan DUN Sabah

Ia menjadi lebih menarik kerana menyaksikan buat pertama kali Perikatan Nasional (PN) bertanding bersama-sama BN serta parti tempatan yang bersekutu dengan mereka.

Selepas penamaan calon, didapati berbelas kerusi menyaksikan pertembungan sesama parti dalam gabungan berkenaan dengan sesetengahnya dikatakan dapat diatasi sebelum hari mengundi.

PRN kali ini juga diadakan ketika ancaman wabak Covid-19 masih meluas dengan banyak kes dilaporkan di Sabah.

Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan berbanding 60 sebelum ini.

Warisan sedang cuba mempertahankan kerajaan itu melalui kerjasama dengan DAP, PKR, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) menjadi Warisan Plus.

Pada sisi bertentangan pula ialah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan PN, BN and Parti Bersatu Sabah (PBS).

Tidak ketinggalan ialah parti tempatan seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan calon bebas.

Tinggalkan komen anda