PN boleh dakwa 12 individu dikait LTTE jika ada bukti kukuh – Dr M


shadow

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh mendakwa individu yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) jika mempunyai bukti yang kukuh

Menurut Mahathir, ketika dia menjadi perdana menteri, peguam negara ketika itu, Tommy Thomas telah memberitahu kepadanya bahawa tidak ada bukti yang mencukupi untuk menuduh suspek di bawah undang-undang berkaitan pengganas di Malaysia.

Atas sebab itu, kata Mahathir, dia menulis surat kepada Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, untuk mencadangkan agar LTTE dikeluarkan dari senarai pengganas.

“Berkenaan dengan penyokong LTTE, saya dimaklumkan oleh peguam negara bahawa tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di bawah undang-undang terrorist yang tidak boleh diikat jamin semasa menunggu perbicaraan.

“Saya memberi pendapat saya kepada menteri yang bertanggung jawab berkenaan perkara ini. Pendapat saya bukan suatu arahan.

“Bagi saya, jika kerajaan dan Peguam Negara pada hari ini merasa terdapat bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka, seharusnya mereka memulakan proses perundangan yang sewajarnya,” katanya dalam catatan di blognya hari ini.

Mahathir juga menyorot bahawa cadangan itu dibuat dengan mengambil kira bahawa kerajaan Sri Lanka sendiri, yang pernah bertembung dengan LTTE, tidak lagi melabel kumpulan itu sebagai pengganas.

Mahathir merujuk kepada kes 12 individu yang ditangkap polis pada Oktober tahun lalu kerana didakwa menyokong organisasi pengganas yang kini sudah tidak berfungsi itu, yang satu ketika berpusat di Sri Lanka.

Kesemua 12 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) itu kemudian didakwa di pelbagai mahkamah di beberapa negeri kerana disyaki mempunyai kaitan dengan organisasi berkenaan.

Namun, pada 21 Februari tahun ini, Thomas menggunakan kuasa perlembagaannya untuk menghentikan prosiding terhadap 12 indvidu berkenaan.

Minggu lalu, surat bertarikh 12 Februari yang ditulis oleh Mahathir kepada Muhyiddin disebarkan di media sosial.

Dalam surat itu, Mahathir mengatakan bahawa dia percaya bahawa tidak ada alasan bagi kerajaan untuk terus melabelkan LTTE sebagai organisasi pengganas ketika Sri Lanka juga tidak lagi berbuat demikian.

“Jika label terrorists diguna terhadap LTTE, maka mereka tidak boleh ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

“Langkah ini (cadangan mengeluarkan LTTE dari senarai pengganas) konsisten dengan pendirian kita sebelum pilihan raya 2018 bahawa kita menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang telah disalah guna oleh kerajaan BN untuk menahan mereka yang menentang pencurian yang mereka lakukan menerusi 1MDB dan juga salah guna kuasa.

“Dan mereka yang menentang ini telah ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin. Ini satu travesty of justice ataupun satu ketidakadilan yang melampau,” katanya.

Mahathir juga berkata suratnya kepada Muhyiddin itu disebarkan untuk memperlihatkannya seolah-olah menyokong LTTE.

Tinggalkan komen anda